August 7, 2012

Ramadhan Ini

Posted by Lyla




Alhamdulillah 17 Ramadhan sudah hari ini, saat ada mata-mata yang mula terlena, ada jua mata yang masih bangun menikmati malam. seperti ana yang masih mencari `mood` siapkan tugasan yang agak banyak.

Merasa sedikit tenang walaupun bila terfikir terasa beban, yakin kalau setiap yang hadir bukanlah diluar kemampuan, jadi adalah sedikit masa mencatit bait bicara yang terbuku pada perasaan.  Ramadhan ini kali pertama menyambut bersama suami tercinta, bersama keluarga suami , sahabat-sahabat baru pastinya persekitaran baru, Alhamdulillah terasa Ramadhan ini begitu manis dengan kasih sayang dan nikmat dan rahmat Allah yang tidak pernah putus didalamnya.
Terasa begitu dalam rasanya Ramadhan kali ini, membuatkan ia rasa cepat berlalu, seperti baru semalam seronoknya menanti Ramadhan. Terasa semangat beribadah masih membuak. Semoga Ramadhan ini lebih bermakna buat kita semua.



Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah
kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.
 Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita? 

Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap  umat Islam.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri
sendiri.
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."


~ Menikmati detik Ramadhan yang masih ada ini insya`Allah sebaiknya, semoga dengan smgt ini melahirkan rasa taqwa sentiasa dalam hati lalai, agar terus beringat selalu dikala leka.  Dan penuh harapan ana dalam Ramadhan ini doa dan harapan memiliki cahaya mata dimakbulkanNya. Sungguh tidak pernah hati ini berhenti meminta dan semoga kekuatan terus bertapak dengan ujian dan dugaan yang sedang atau akan menyinggah...Amin Ya Rabbal alamin... Insya`Allah..

0 comments:

Post a Comment

syukran jazilan.. =) komen anda amat dihargai

Sahabat...

.......

 

Cahaya Malam Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos