Showing posts with label PERKAHWINAN. Show all posts
Showing posts with label PERKAHWINAN. Show all posts

January 12, 2015

Dakwah Dari Hati

Posted by - 0 comments
“Sudah berapa lama tuan memeluk Islam?”tanya saya pendek

“Dua puluh tahun,”jawab lelaki berbangsa India itu juga dengan pendek.

“Semua keluarga turut masuk Islam?”

“Semua, tetapi tidaklah berturut-turut. Termasuk ibu-bapa saya,” jawabnya sambil tersenyum. Wajahnya nampak sangat tenang. Jadi senang hati melihatnya.

“Yang paling akhir?”

“Ibu dan bapa saya. Baru sebulan yang lalu.”

“Alhamdulillah…”

“Tetapi ibu saya baru sahaja meninggal dunia. Kira-kira dua minggu yang lalu.”

Saya terkejut. Maksudnya, baru sangat. Tentu dia masih dalam kesedihan.

“Masih sedih…” kata saya perlahan sambil mengusap bahunya. Separuh bertanya, separuh simpati.

“Sedih sedikit sahaja. Gembira lebih banyak.”

Wah, jawapan itu sangat aneh. Tentu ada cerita di sebaliknya.

“Mengapa tuan rasa gembira?”

“Panjang ceritanya…”

Saya memberi isyarat yang sangat berminat mendengar. Mungkin kerana itu dia pun mula bercerita. Lancar dan lurus tanpa tersekat-sekat. Seolah-olah episod demi episod sudah tersusun kemas dalam minda dan perasaannya. Menurutnya, dia memeluk Islam hasil dakwah seorang wanita. Dengan cinta? Tidak. Hanya dengan akhlak seorang wanita ‘berniqab’ yang bekerja sebagai akauntan di pejabatnya.

“Saya tertarik kepada akhlaknya. Begitu sopan, begitu empati dengan kawan sekerja dan cekap pula melaksanakan tugas. Tanpa melihat wajahnya pun, hati saya sudah terpikat. Sungguh. Saya jatuh cinta pada kecantikan budinya.”

“Bagaimana menyatakannya?”

“Cinta sentiasa ada cara untuk dinyatakan. Melalui seorang kawan rapat saya menyatakan hasrat.”

“Masa tu belum Islam?”

“Belum. Itulah cinta. Buta. Saya akui, cinta kepada wanita itu lebih dulu datang, sebelum cinta kepada Islam. Itulah saya.”

“Subhanallah menarik. Bagaimana reaksinya?”

“Dia menjawab… bakal suami saya hanyalah seorang Muslim.”


“Saya tahu, itu ialah syaratnya. Lantas, saya katakan kepadanya, masih melalui orang tengah,  beri saya masa secukupnya untuk memeluk Islam. Saya rasional, saya tidak akan ikut-ikutan. Saya perlu berfikir.”
“Dia beri cukup masa untuk berfikir?”

“Ya, bukan hanya untuk berfikir. Tetapi untuk belajar tentang Islam. Saya sememangnya sudah sekian lama menyimpan hasrat untuk memahami Islam. Bukan kerana hendak menganutnya, tetapi kerana minat saya yang mendalam pada ilmu. Bagi saya ilmu-ilmu dalam Islam sangat menarik untuk diterokai.”

“Jadi Islam hanya dipelajari untuk diketahui, bukan untuk diyakini?” tusuk saya.

“Mula-mula begitulah. Tetapi lama-kelamaan, ilmu-ilmu itu telah membentuk keyakinan saya. Mula-mula hanya kerana wanita, tetapi akhirnya jatuh cinta kepada Pencipta wanita.”

“Begitu mudah?”

“Tidak juga. Saya berfikir lama…. Hati saya selalu bertanya apa yang menyebabkan seorang wanita begitu ‘terbuka’ ketika wajahnya tertutup. Dia sangat terbuka dalam pemikiran, pergaulan dan pekerjaannya.  Mudah didekati tetapi sangat menjaga diri. Bagi saya tentu ada sesuatu dari dalam dirinya yang menjadikan dia begitu.”

“Berapa lama?”

“Hampir dua tahun.”

“Dia sabar menunggu?”

“Bukankah saya katakan, dia wanita yang sangat setia dan patuh pada janji?”

“Wah. Itu cinta pertama?”

“Pertama pada dia. Tetapi tidak pada saya. Saya pernah jatuh cinta kepada wanita lain sebelumnya.  Pada dia cinta pertama, pada saya cinta utama. Dalam banyak-banyak cinta, cinta itulah yang paling suci dan unik.”

“Perkahwinan meriah?”

“Meriah. Sangat meriah. Sederhana tetapi penuh makna. Ceria.”

Hampir saya terlupa pada cerita ibunya. Supaya tidak terlupa, saya terus bertanya, “itu cerita isteri, tadi kita bermula dengan cerita ibu.”

“Cerita ibu dan isteri saya sangat berkaitan.”

Saya minta dia bercerita terus. Saya mahu belajar daripadanya. Saya lihat di antara mereka yang mengikuti kursus kepimpinan Islam itu dialah yang paling bersungguh-sungguh dan fokus. Banyak pertanyaan yang diajukannya. Bagi saya dia seorang istimewa. Tentu sekali isteri atau ibu atau kedua-duanya sekali istimewa. Bukankah di sebalik seorang lelaki yang hebat, pasti ada seorang wanita yang hebat?

“Setelah bernikah, saya lebih mendalami agama. Saya dan isteri terus belajar dan belajar. Ada kalanya cuti tahunan kami dihabiskan untuk belajar ilmu agama. Kami kemudian mengerjakan umrah dan akhirnya dapat mengerjakan haji. Anak-anak kami dididik untuk mendalami agama sejak kecil. Alhamdulillah, dua daripada tiga orang anak kami hafaz Al Quran.”

“Bertuah. InsyaAllah, isteri tuan seorang isteri yang solehah. Boleh saya dan keluarga ziarah rumah tuan untuk bertemu dan berkongsi pengalaman dengannya?”

“Tidak boleh. Maaf, tidak boleh.”

Saya sangat terkejut. Ditolak mentah begitu sahaja? Lantas bertanya, “mengapa?”

“Kerana dia telah meninggal dunia dua tahun lalu. Sakit barah. Barah rahim. Sewaktu barah dikesan sudah tahap yang kritikal. Tidak dapat diubat lagi. Sebulan meninggal…”

Terkejut. Daripada rasa terkilan tadi, bertukar tiba-tiba kepada rasa sedih yang mendalam. Betul, jangan cepat buruk sangka, detik saya dalam hati. Sekarang saya seperti dapat merasakan sendiri rasa kehilangannya srikandi cintanya itu. Betapa hebatnya rasa kehilangan seorang isteri yang telah memberi cahaya mata dan cahaya hati.

Dia mengesat matanya yang mula berair. Sungguh, saya turut merasainya. Isteri ialah jantung hati kita. Dia pergi… separuh diri kita juga seolah-olah hilang. Cinta kepada isteri ialah cinta kerana Allah yang sangat besar impaknya dalam kehidupan. Hamka, seorang penulis yang tersohor pernah meluahkan isi hatinya ketika ditinggal mati oleh isterinya. Ketika ditanya oleh anaknya (irfan), beliau meluahkan :
“Kau tahu, Irfan. Ayah dan Ummi telah berpuluh-puluh tahun lamanya hidup bersama. Tidak mudah bagi Ayah melupakan kebaikan Ummi. Itulah sebabnya bila datang ingatan Ayah terhadap Ummi, Ayah mengenangnya dengan bersenandung. Namun, bila ingatan Ayah kepada Ummi itu muncul begitu kuat, Ayah lalu segera mengambil air wudhu’. Ayah solat Taubat dua rakaat. Kemudian Ayah mengaji. Ayah berupaya mengalihkannya dan memusatkan fikiran dan kecintaan Ayah semata-mata kepada Allah,” jawab Ayah

“Tetapi satu kematian yang indah…” tiba-tiba dia bersuara, memutuskan ingatan saya pada Allahyarham Pak Hamka.

“Kematian yang indah? Bagaimana dia meninggal dunia?”

“Saya masih ingat menjelang waktu Asar pada hari itu dia sangat tenat. Saya duduk menemani di sebelahnya. Dia merayu untuk solat berjemaah bersama. Selalunya saya solat berjemaah di masjid tetapi kali ini dia benar-benar tenat. Lalu saya baringkan dia di sebelah kiri di bahagian belakang saya. Dia begitu lemah. Matanya hampir terpejam. Habis solat sahaja, dia mengucap kalimah syahadah sebanyak tiga kali… lalu terus menghembus nafas yang terakhir.”

“Begitu mudah?”

“Begitulah tuan, macam sebuah drama. Sukar untuk mempercayainya jika sekadar mendengar cerita tetapi saya menyaksikannya. Itulah kematian yang indah.”

“Al Fatihah,” ujar saya. Kami sama-sama membaca surah al fatihah dan berdoa semoga rohnya diampuni dan dikasihani Allah. Seseorang akan mati mengikut cara hidupnya. Jika cara hidupnya baik, maka dia akan menemui kematian dengan sebaik-baiknya. Wanita itu telah mengislamkan suaminya, melahirkan anak-anak yang baik,  bisik hati saya.

“Ustaz, sebenarnya bukan saya sahaja yang tertarik kepada Islam atas sebab dia tetapi juga adik-beradik saya. Seorang demi seorang adik-beradik saya memeluk Islam apabila mula dan  lama bergaul dengannya.”

“Wah, mudahnya…”

“Tetapi ada  juga yang susah. Ibu dan ayah saya sangat susah untuk menerima Islam. Mereka sangat keras hati. Kata-kata lembut dan akhlak isteri saya pun tidak cukup kuat untuk mencairkan kekufurannya. Namun, ajaibnya… masih isteri saya juga menjadi sebab keislaman ibu-bapa saya.”

“Macam mana tu?” tanya saya tidak sabar. Inilah persoalan awal dalam perbualan kami tadi. Daripada soal ibu-bapanya teralih pula kepada soal isterinya. Benar katanya tadi, soal ibu dan isteri sangat rapat dan Saling berkait.

“Kami cuba pelbagai cara untuk mengislamkannya, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, isteri saya menyarankan satu cara…”

Saya benar-benar ‘suspen’. Menanti dengan penuh minat.

“Sayangnya, isteri saya pergi dulu sebelum sempat melihat hasil dakwahnya kepada ibu saya,” katanya tanpa memberi jawapan yang saya tunggu.

“Maksud tuan, isteri tuan meninggal dunia dahulu kemudian baru ibu tuan memeluk Islam?”
“Ya,”jawabnya pendek.

“Apa kaedah yang disarankan oleh isteri tuan itu?” tanya saya, mengulang pertanyaan yang sangat saya dambakan jawapannya sejak tadi.

“Begini, arwah isteri saya menyatakan bahawa doa anak kepada ibu-bapanya sangat mustajab. Bukan sahaja setelah ibu-bapanya meninggal dunia, bahkan semasa ibu-bapanya itu masih hidup lagi.   Satu hari, dia sarankan saya berdoa setiap kali selepas solat dan setiap kali membaca Al Quran. Pohon kepada Allah agar diberi hidayah kepada ibu-bapa saya.”

Terpegun mendengar saranan itu, saya berfikir. Nasihat ini seperti serampang yang punya dua mata. Pertama, untuk yang berdoa agar sentiasa solat dan membaca Al Quran. Kedua, untuk yang didoakan agar mendapat hidayah Islam. Bijak sungguh arwah isteri beliau.
“Jadi tuan ikut saranan itu?”

“Ya. Saya ikut.”

“Berapa lama?”

“ Hampir 10 tahun. Selama itulah setiap kali selepas solat dan membaca Al Quran saya doakan ibu-bapa saya. Yakni, sejak hari Allahyarham isteri mencadangkannya pada saya… saya amalkan. Dia meninggal dua tahun yang lalu, ibu pula baru dua minggu yang lepas. Ertinya, dia sendiri tidak dapat melihat hasil kejayaan dakwahnya.”

“Dia akan melihatnya. Bahkan dia akan melihat lebih jelas daripada kita nanti. InsyaAllah. Mudah-mudahan dia dan ibu tuan ditempatkan di kalangan roh orang yang beriman. Sama-sama akan ke syurga nanti…”

Sungguh peristiwa itu sangat menyentuh jiwa. Dakwah yang berkesan itu dengan akhlak yang baik, kata-kata yang penuh hikmah dan doa yang istiqamah. Tanpa wajah dilihat, tetapi diri  sudah mampu memikat. Itulah mesej di sebalik ‘sayonara’ seorang isteri yang berniqab…

Perkongsian dari blog : http://genta-rasa.com (Ustaz Pahrol Mohamad Juoi)

January 20, 2011

Persoalan Cinta Suci

Posted by - 1 comments
Apakah cinta suci itu? Bila seseorang lelaki mencintai seorang wanita dengan tulus, suci dari pengaruh nafsu, Sebuah cinta yang jauh dari kekejian dan terhindar dari perbuatan tidak senonoh. Cinta seperti ini biasanya didorong oleh rasa taqwanya kepada Allah. Dan kefahaman tentang pengertian cinta menurut Islam yang didukung keinginannya yang kuat dalam menjaga kesucian sesugguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan (Yusuf: 53). Termasuk paling rendah keteguhan wara’ adalah hendaklah seorang Muslim menundukkan pandangan dari seorang wanita yang bukan mahramnya (An-Nur: 30-31) Keteguhan taqwa adalah hendaknya seorang lelaki menghindari berkhalwat dengan seorang wanita bukan mahramnya.

Namun begitu apabila seseorang itu dilamun cinta maka nilai-nilai seperti romantik, caring, sentimental value, sehati sejiwa, fantastik akan terjadi dan terserlah. Apakah semuanya ini benar atau hanyalah palsu?

Melibatkan diri dalam perhubungan erat yakni dunia percintaan yang lebih ke arah nilai-nilai di atas semuanya adalah retorik atau tiada pengertian cinta hakiki sebenarnya. Cinta di atas lebih menghala kepada rangsangan nafsu yang disalah ertikan kerana perhubungan persahabatan yang rapat dan terbuai oleh dodoian perasaan. Sebab hakikat percintaan yang di benarkan oleh Islam ialah asas daya tarikan kepada kewarakan seseorang yang menjadi tarikan kepada cinta bersyariatkan Islam.
Kebanyakan persahabatan yang lebih bermotifkan memikat sememangnya lebih ke arah sentimental value yakni lebih kepada pemberian hadiah tidak kira apa jua barangnya. Jika tidak berminat, masakan sanggup mengorbankan wang kepada seseorang. Romantik pada dasarnya adalah bukan satu prinsip di dalam Islam. Bagaimanakah akan wujudnya hubungan romantik sekiranya mereka tidak berhubungan atas alasan kalau hanyalah melalui asas pendekatan Islam? Cinta di dalam Islam sebenarnya tiada hubungan romantik atau caring atas alasan jika benar-benar pencinta-pencinta yang memahami corak Islam lebih ke arah menulis peringatan-peringatan Allah yang senantiasa takutkan kemurkaan Allah di dalam konteks cara perhubungan walaupun mungkin tidak pernah berdating.

Malah orang yang bercinta di dalam bentuk syariat Islam takut untuk berhubungan secara menulis kerana was-was dengan keupayaan menahan bentuk luahan hati yang akan menimbulkan zina hati. Malah orang yang benar-benar beriman takut untuk berhubungan melalui telefon atau kaedah bercakap yang penuh lemah-lembut dalam bentuk hubungan lain seperti chat kerana biasanya kekerapan hubungan percakapan lebih ke arah tidak tertapis dan bisa menggoda keimanan dengan rasa rindu dengan suara dan gurauan sehingga akhirnya membuat tautan rasa cinta asmara dana bermula kecuali bagi mereka yang benar-benar tidak ada masalah hati. Itu pun boleh menjadi satu bentuk perhubungan awalan jika tidak disekat. Semakin kerap berhubung akan menjadikan semakin rapat perhubungan dan akhirnya tanpa mengimbangkan kewarasan akal dan lebih mementingkan perasaan dan nafsu akhirnya menjerumus kepada kefahaman itulah cinta yang sebenarnya. Kerana atas dasar apa? Rasa rindu yang amat sangat, sedangkan hakikat rindu yang sebenar ialah rindukan Allah. Orang yang beriman dapat menangkis ketahanan rindu apabila asas cinta benar-benar berlandaskan iman. Bukankah di dalam Islam sendiri sudah menggaris pandu corak meminang wanita, tetapi anak-anak muda dewasa ini lebih suka kepada bercinta dan mencari cinta serta mencari masalah di dalam konteks perhubungan cinta dan akhirnya terjebak di dalam lautan cinta yang memabukkan.

Cinta berasaskan Islam ialah cintakan kebaikan, keimanan dan keuAllah pendirian kerana ia adalah asas kepada tiang pengukuhan iman di hari depan. Malah cinta di dalam Islam lebih ke arah rasa hormat, malu dengan kewarakan responden kerana itu lah cinta hakiki yang tidak boleh di jual beli. Malah malu untuk berkata-kata di sebalik kata-kata yang tidak sepatutnya. Apabila individu itu benar-benar mencintai seseorang itu atas sifat-sifat di dalam diri respondennya.....ia lebih ke arah sifat mengkagumi untuk memilikinya tanpa syak dan was-was akan kebaikan, keimanannya dan keuAllah pendirian responden.

Jika ia benar-benar memahami konteks iman di dalam percintaan yang terbina di dalam dirinya, daya tarikan ke arah cabaran-cabaran cinta luaran murahan yang mendatang tidak bisa menembusinya. Maka tidak ada dua, tiga atau ke empat sikap jatuh cinta di dalam satu masa. Malah masalah samada sayang atau tidak sayang tidak timbul kerana asas cinta sebenar ialah keupayaan untuk sama-sama menggembeling meningkatkan iman andaikata terbina ikatan yang diakhiri ukhwah di dalam percintaan iaitu ikatan rumahtangga.

Cinta berasaskan Islam dan syariat lebih ke arah memupuk ukhwah Islamiyah di dalam pemantapan jasmani dan rohani. Itulah cinta yang sebenar di dalam Islam. Bukan seperti sebahagian dari anak-anak muda yang tidak memahami konteks percintaan hakiki yang mana terlalu mudah jatuh cinta dengan hanya sekali pandang, dan juga dengan hanya tautan kata-kata.

Sememangnya tidak di nafikan kuasa cinta benar-benar dapat menguasai respondennya. Ada yang berubah sikap dengan rangsangan cinta, contohnya ada yang semakin beriman, semakin baik dan semakin terdidik kerana nasihat dan peringatan oleh orang yang di cintainya. Tetapi adakah rangsangan itu akan terus berkekalan andaikata cinta berpaling arah atau tidak menjadi. Inilah yang dibimbangi kerana rangsangan cinta murahan hanya satu kepura-puraan yang tidak berkekalan atas asas tujuan untuk memikat hati. Ada yang jadi baik, bercakap yang baik-baik di depan orang yang di cintainya. Almaklumlah yang di cintai itu seorang yang beriman tetapi bila bercakap dengan kawan kawan lain mulalah membebel entah apa-apa kerana asas malu tiada.

Sebab itu di dalam konteks perhubungan cinta sesama Islam, jika ingin memulakan ikatan cinta itu, maka hendaklah berasaskan cinta yang penuh didikan iman. Perhatikan muamalat responden agar tidak tersalah jatuh di dalam jerat percintaan yang tidak patut. Ini disebabkan ianya lebih ke arah mengheret masalah baru yang mungkin akan menjatuhkan ke lembah hina seperti yang terjadi di dalam kes Nur Aisyah Bukhari. Semuanya bermula dari kesilapan Nur Aisyah sendiri yakni tidak memerhati, memikir baik baik dan memutuskan apa yang di cintainya itu layak atau tidak untuk di cintai. Sungguhpun di katakan Nur Aisyah sudah terdidik sebelum ini, tetapi iman yang sebenarnya ialah dari asas pendekatan dirinya sendiri. Ilmu yang di pelajarinya sekiranya tidak di amalkan akan menjadi perosak di dalam dirinya maka itulah yang berlaku di dalam diri Nur Aisyah.

Begitu juga dengan anak-anak muda kita, bilamana seorang pemuda menyampaikan hasrat cintanya, jangan mudah terusik hati, perhati kan agamanya, kebaikannya dan segalanya sejak dia belum mengenali kita. Maksud sifat asalnya dan muamalat asalnya, kerana jika kita mudah membenarkan hati di lalui maka ia hanya akan membuka peluang kepada ke arah ketidakfahaman konsep cinta berasaskan islam. Biarlah di katakan diri kita ego atau sombong. Ego untuk kebaikan yakni menjaga diri untuk mengimbangi antara kewarasan akal dan iman yang akan menjadi benteng dan senjata melumpuhkan pihak lawan. Benarkah begitu? Sebab bagi perempuan mahupun lelaki yang beriman mempunyai sifat-sifat yang konkrit di dalam pendirian mahupun akhlak. Bukankah akhlak yang cantik terbina dari didikan hati naruni iman yang cantik?

Bagi yang memahami dan mengerti apa itu iman, dia tidak ragu-ragu untuk terus memiliki perempuan itu dengan jalan terbaik. Persoalannya dengan cara yang bagaimana? Jawapannya sudah tentulah dengan meminang wanita ini. Sebab wanita ini bukan calang-calang imannya, tentulah terfikir di hati mereka. "Akulah yang paling bertuah andaikata aku berupaya memiliki wanita yang paling payah untuk di kuasai, kerana apabila diberinya cintanya pada aku...akulah orang yang paling agung dan terhormat di atas pemberiannya itu dengan cara yang diizin dan dihalalkan oleh Islam dan Allah"

Jadi kata-kata bidalan ‘Berkawan biar beribu bercinta biar satu’ tidak begitu tepat di dalam konteks Islam dan patut di tambah dengan bercinta biarlah untuk teman di akhirat yang dihalalkan oleh Islam bersebabkan faktor-faktor semua panahan cinta di atas konsep berkawan adalah tidak tepat dan bercanggah di dalam konteks perhubungan di dalam Islam sebab kerana ia hanya boleh menjatuhkan ke arah perhubungan dalam suasana fitnah.


Rayuan Manja atau Cumbu Rayu

Rayuan manja atau cumbu rayu adalah kata-kata indah, sebagai ungkapan yang menarik dan tertarik hati. Dalam kaca mata Islam cumbu rayu ada dua macam :
1.Yang diharamkan, iaitu cumbu rayu yang dapat membangkitkan nafsu syahwat. Ianya diharamkan kerana dapat menimbulkan kemerosotan nilai moral, untuk menutup pintu kerosakan dan menghindari fitnah. Jika Islam mengharamkan sesuatu, pasti akan mengharamkan juga hal-hal yang boleh menghantarkan kepada sesuatu yang haram tersebut. Contohnya, bila Islam mengharamkan zina maka ia mengharamkan pula aktiviti yang boleh mendekatkan kepada perzinaan.
2.Yang dibolehkan, iaitu rayuan jenis ini adalah rayuan yang tidak membangkitkan nafsu syahwat. Contohnya, seperti nasihat menasihati ke arah kebaikan dan sabar.


Renungkanlah Bersama

Islam adalah agama yang menggabungkan dengan fitrah manusia, dengan perilaku dan undang-undangnya, juga mengakui adalah fenomena cinta yang melekat sebagai fitrah manusia (Ar-Rum:30). Jika memang demikian, maka jadikanlah cinta penuh kasih sayang sebagai pendorong kemajuan, untuk membina ketinggian yang kekal, sebagai jalan menuju kediaman yang kekal abadi di syurga. Tentu sahaja hal di atas tidak mungkin wujud jika tidak menjadikan cinta kepada Allah, kepada Rasulullah, dan jihad fi sabilillah di atas cinta kepada kehidupan, keluarga, kerabat dan tanah air, cinta kepada dunia, harta dan kesenangan lainnya. Betapa mudah jalannya dakwah Islam yang dilakukan oleh para prajurit dan para da’i yang mukmin dan mukhlis, para pemuda yang saling membina persaudaraan Islam dalam kehidupan sehari-hari, dan saling bertukar fikiran dengan penuh kasih sayang, serta menunjukkan sikap-sikap yang mulia di dalam tingkahlaku mereka.

Akhir kalam, hanya Jauhari sahaja yang mengenal Manikamnya yakni hanya orang orang yang beriman akan menghargai dan mengagungi keimanan orang yang patut di cintainya kerana hanya orang yang baik-baik sahaja yang inginkan sesuatu yang baik. Di situ sudah menampakkan penilaiannya, dimana jodoh yang baik adalah untuk orang yang baik dan begitu lah sebaliknya. Kerana orang yang tidak baik tidak menyanggupi untuk hidup bersama dengan orang yang baik kecuali dalam dirinya itu adalah mempunyai zat yang baik juga. wallahu'alam bissawab.

Berkata Imam Nawawi: "Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu" DisakitkanNya kita sekejap tapi cepat-cepat disembuhkan semula kerana cintaNya, disusahkan sedikit agar insaf, namun segera disenangkan semula. Itulah belaianNya. Dimarahkan juga kadang-kadang kerana sayang, namun tidak lama kerana kasihNya.

May 18, 2010

ANJURAN BERKAHWIN

Posted by - 0 comments
Manusia adalah suatu kejadian ciptaan Allah swt. yang paling baik bentuk dan rupa parasnya, berbanding dengan makluk-makluk lain. Mempunyai akal fikiran, perasaan dan nafsu keinginan. Keinginan kepada perkelaminan merupakan tabiat semulajadi seluruh makluk di dalam alam ini. Pada permulaan alam, Allah swt mencipta Adam sebagai manusia pertama, kemudian darinya Allah ciptakan pasangan Hawa supaya perkelaminan bermula seiring dengan permulaan alam. Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai manusia bertaqwalah kepada Allah yang menciptakan kamu dari satu diri (nafs) dan menjadikan pasangan dari dirinya sendiri. Dan membiakkan dari keduanya manusia lelaki dan perempuan yang banyak. Dan takutlah kepada Allah yang kamu minta-minta dengannya dan peliharalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu.”
Islam yang memahami tabiat dan sifat-sifat semulajadi manusia telah mengizinkan perkahwinan. Rasulullah saw. sangat menyuruh dan menggalakkan umatnya berkahwin atau mendirikan rumahtangga. Rasulullah saw telah bersabda:
“Hai, para pemuda barangsiap dari kalangan kamu berdaya mengadakan belanja kahwin, maka hendaklah kamu kahwin kerana nikah itu lebih pada menundukkan pandangan dan lebih menyelamatkan akan kemaluan. Kerana puasa itu ibarat kebiri.”


TUJUAN BERKAHWIN

Posted by - 1 comments

Berhubung dengan persoalan kahwin atau nikah ini, kita perlu mengetahui apakah tujuan kita kahwin. Bagi orang Islam yang sebenar, tujuan perkahwinannya atas mencari keredhaan Allah, bukan sekadar ikut-ikut atau bertujuan untuk berseronok-seronok.
Oleh itu niat kita hendak mendirikan rumahtangga kita itu mestilah betul seperti yang dikehendaki oleh Allah swt. Kalau niat mendirikan rumahtangga tidak betul mengikut kehendak Allah dan Rasul, maka keluarga yang didirikan tidak akan mendapat pimpinan dari Allah swt. Sekiranya kita sudahpun mendirikan rumahtangga, tidak salah kalau niat ini kita perbetulkan semula.
Niat yang pertama yang mesti kita pasang dalam mendirikan rumahtangga kita ialah untuk mendapat sebanyak-banyak anak yang soleh. Allah dan Rasul memang menghendaki niat seperti ini kerana muka bumi ini adalah diserahkan oleh Allah swt kepada manusia-manusia untuk ditadbirkan dengan baik mengikut peraturan-peraturan yang telah Allah berikan.
Manusialah yang telah dijadikan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Aku hendak jadikan khalifah-khalifah di muka bumi ini.”
Rasulullah saw juga penah bersabda:
‘………..kerana aku berbangga di hari kiamat nanti dengan ramainya umat-umatku dibandingkan dengan umat Rasul-Rasul sebelumku.”
Yang dimaksudkan dengan umat di sini ialah hamba-hamba Allah yang patuh dan tunduk kepada perintah-perintah Allah serta yang beriman kepada Allah dan Rasul. Adalah hikmah dan rahsia pada ramainya bilangan isteri Rasulullah saw itu ialah supaya menggemarkan umat Islam pada membanyakkan bilangan umat Islam.

KERUGIAN BAGI WANITA YANG MENOLAK PERKAHWINAN

Posted by - 0 comments

Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antaranya memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.
Justeru itu ramai yang lebih rela jadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan karier kerjanya.
Sebelum ini saya ada memberi pandangan bagaimana hendak menyelesaikan masalah andartu. Kali ini saya akan dedahkan pula tentang kerugian wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang ada peluang berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang saya sebutkan di atas tadi.
Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan negatif untuk melahirkan cahaya.
Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa seperti di barat. Sungguh pun demikian pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat.
Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak. bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam salehah dan menjadi ahli syurga di akhirat adalah amat mudah. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah:
“Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki.”
Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami.

PERTUNANGAN MENGIKUT SYARIAT

Posted by - 0 comments


Sebelum seorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya. Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Tuhan sebagai pokok utama.
Pertama; adakah fardhu ain si lelaki benar-benar beres sebab suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri bila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan perlaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan secara berjemaah. Memerhati matlamat perniagaan dan perusahaan atau matlamat dalam pekerjaan lelaki berkenaan.
Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sejahteranya rumahtangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumahtangga. Tidak hairanlah bila lepas kahwin kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya anak-anak tidak taat kepada ibubapa dan isteri jadi ‘Queen Control’ kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir rumahtangga menurut hukum Islam.
Ibubapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.
Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya.”
Rasulullah saw bersabda lagi:
“Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu redha terhadapnya agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”
Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan samada mahu menerimanya atau tidak, cuma secara beradapnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu. Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan. Sebab pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan berakhlak mulia.

WALIMATUL URUS YANG HARAM...!

Posted by - 0 comments

Pengamalan adat nikah gantung adalah orang yang bertanggungjawab mengharamkan yang halal. Mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syariat Islam bila mana ijabkabul dilafaskan dan disahkan, maka jadilah lelaki dan perempuan itu sebagai suami isteri yang sah, maka halallah bagi mereka apa yang diharamkan sebelum ini seperti persetubuhan dan sebagainya dan masing-masing mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan seperti nafkah dan sebagainya termasuk nafkah batin. Ketahuilah bahawa mengharamkan yang halal sama dengan syirik.
Dalam soal upacara bersanding, telah sepakat ulama mutaakhirin bahawa hukum bersanding itu adalah “HARAM”. Walau bagaimanapun para ulama berbeza-beza di dalam mengutarakan sebab atau mengapa bersanding itu haram.Ada ulama mengatakan sebab bersanding itu haram kerana pekerjaan tersebut adalah merupakan satu pekerjaan bidaah (satu perkara yang diada-adakan) iaitu pekerjaan yang tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah saw mahupun di zaman para sahabat. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan kerjakanlah segala apa yang didatang Rasul, serta hentikanlah segala apa yang dilarangnya.”
Dalam pada itu, ada juga pendapat ulama mengatakan bahawa bersanding itu haram disebabkan terdapat beberapa perbuatan yang melanggar batas-batas syarak seperti pakaian yang mendedahkan aurat, percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan muhram, pembaziran, memakai bau-bauan dan sebagainya.Perbelanjaan untuk membuat pelamin sekurang-kurangnya ratusan ringgit, bahkan adakalanya sehingga ribuan ringgit dihabiskan. Ini merupakan pekerjaan yang membazir. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.”
Pendedahan aurat berlaku berleluasa di majlis tersebut, terutamanya pengantin perempuan. Rasulullah saw bersabda:
“Ada empat golongan perempuan di dalam neraka; Perempuan yang tidak menutup dirinya (auratnya) daripada lelaki bukan muhram dan keluar daripada rumahnya dengan melawa-lawa;…… perempuan yang bersifat dengan sifat-sifat demikian ini adalah dilaknat, menjadi ahli neraka kecuali mereka bertaubat.”
Sebuah hadis Rasulullah saw lagi:
“Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar lantas melintasi suatu kaum lelaki (bukan muhram) agar mereka tercium bau harumnya, maka ia adalah penzina, dan tiap-tiap mata yang memandang itu zina.”
Manakala ulama lain pula berpendapat bersanding merupakan satu yang jelas haram kerana ia adalah warisan, ikutan dari amalan masyarakat Hindu dari zaman berzaman. Sedangkan kita umat Islam adalah dilarang untuk mengikut amalan orang kafir. Islam menyuruh umatnya menjadi satu umat yang berbeza dari lain-lain umat samada dalam adatnya, dalam iktiqadnya, dalam pakaiannya dan lain-lain.
Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiap menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dari golongan mereka.”
Rasulullah saw. bersabda:
“Bukan dari golongan kita umat Islam barangsiapa menyerupai kaum yang lain daripada kita.”

Fahami lelaki atau ...?

Posted by - 0 comments
Semua mengetahui bahawa wanita dan lelaki itu amat berbeza daripada segala segi. Cuma, ada segelintir masyarakat khususnya wanita sengaja memandang sepi perbezaan yang nyata disedari mereka.


Mungkin, golongan seperti ini perlu meneliti buku, 
For Women Only : What You Need to Know About the Inner Lives of Men hasil tulisan Shaunti Feldhahn.

Menariknya,buku ini menceritakan tentang kebenaran yang mengejutkan berkaitan lelaki hasil temubual penulis bersama lebih seribu kaum Adam:

1. 
Lelaki lebih suka rasa dirinya tidak disayangi daripada berasa serba kekurangan dan tidak dihormati.
- Para suami perlu tahu bahawa isteri mereka sebenarnya amat menghormati mereka tidak kira secara peribadi atau di khalayak ramai.
2. Lelaki akan bangga apabila mengetahui isteri mereka mempercayai dan mengagumi mereka.
- Kajian yang dilakukan Shaunti Feldhahn mendapati lelaki lebih suka melihat hilangnya perasaan sayang di hati isteri mereka daripada tidak dihormati oleh isteri masing-masing.

3. 
Kemarahan yang diluahkan lelaki dikatakan satu tindak balas yang sering dilakukan golongan itu apabila mereka berasa diri tidak dihormati oleh si isteri.
- Apabila suami marahkan isterinya, dia mungkin tidak akan berkata: "Awak langsung tidak menghormati saya". Tetapi, besar kemungkinan dia berasa terluka dengan salah satu perbuatan isterinya yang dianggap tidak menghormati dirinya sebagai suami dan itu merupakan satu penghinaan.
4. Lelaki mempunyai perasaan tidak yakin pada dirinya sendiri.- Mereka selalu berasa takut kemungkinan dilukai dalam hidup: tidak hanya berkaitan kerja, tetapi juga di rumah iaitu dalam memainkan peranannya sebagai seorang suami. Mungkin, mereka tidak menyuarakannya, tetapi hakikatnya mereka memang mudah dilukai.

Penawarnya? Tentulah pengakuan. Bagi lelaki, pengakuan daripada si isteri adalah segala-galanya. Pengakuan yang tulen daripada si isteri (bukan pujian) membuatkan lelaki rasa lebih yakin dan terjamin dalam menjalani kehidupan harian mereka.

May 16, 2010

DALAM MEMILIH PASANGAN...............

Posted by - 1 comments



Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita. Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya. Jika seseorang lelaki itu ada keinginan terhadap seorang wanita, maka dia hendaklah masuk meminang dan berkahwin.
Langkah itu bukan sahaja membawa kepada pahala kerana mengikut sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya daripada keburukan dan maksiat.

Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana sini dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing. Apatah lagi apabila hubungan berkenaan dengan sekadar suka-suka, tidakmembawa kepada pernikahan. Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan tersebut akan terbawa-bawa kepada zuriat nanti. Allah sangat mengharapkan lahir dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas.
Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci kepada orang yang suka membujang sampai ke tua. Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat kelak. Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai persediaan yang perlu disiapkan sebagai bekalan dan jambatan untuk meniti alam berumahtangga.
Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup. Islam menegaskan pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang atau belum dan berbagai-bagai lagi. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik.”
Baginda bersabda lagi yang maksudnya:“Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya.”
Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calun isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.


Sahabat...

.......

 

Cahaya Malam Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos