Showing posts with label WANITA suami isteri. Show all posts
Showing posts with label WANITA suami isteri. Show all posts

January 24, 2016

Apa Erti Menjadi Isteri Solehah

Posted by - 0 comments
Suami yang dicintai...
Apa erti menjadi isteri solehah. Pelbagai pandangan dan jawapan mampu kita tafsirkan, samada melalui pembacaan, perbincangan dan perkongsian pengalaman. Kita menyingkap kembali sejarah Nabi Ibrahim sewaktu baginda menziarahi menantunya. Pada  waktu itu, puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah sedangkan isterinya belum pernah  bertemu  bapa  mertuanya, Nabi  Ibrahim.
Apabila  sampai  di rumah anaknya itu, terjadilah  dialog  antara Nabi Ibrahim dan menantunya.
Nabi Ibrahim :  Siapakah kamu?
Menantu :  Aku isteri Ismail.
Nabi Ibrahim :  Di manakah suamimu, Ismail?
Menantu :  Dia pergi berburu.
Nabi Ibrahim :  Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga?
Menantu : Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak  pernah senang dan lapang.
Nabi Ibrahim :  Baiklah!  Jika suamimu  balik,  sampaikan  salamku padanya. Katakan padanya, tukar  tiang  pintu rumahnya (sebagai kiasan supaya   menceraikan isterinya).
Menantu :  Ya, baiklah.
Setelah Nabi  Ismail  pulang  daripada  berburu,  isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka.
Nabi Ismail : Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu?
Isteri :  Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail :  Apa jawapanmu?
Isteri :  Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup  kita ini selalu dalam kesempitan, tidak pernah senang.
Nabi Ismail :  Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri :  Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan  salam kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang  pintu rumahmu.
Nabi Ismail :  Sebenarnya  dia  itu  ayahku.  Dia  menyuruh  kita berpisah. Sekarang  kembalilah  kau  kepada keluargamu.
Ismail  pun  menceraikan isterinya  yang  suka  merungut,  tidak bertimbang  rasa serta tidak bersyukur kepada takdir   Allah  SWT. Sanggup  pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada  orang  luar.
Tidak lama selepas  itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah  sekian lama,  Nabi  Ibrahim  datang lagi ke Makkah  dengan  tujuan menziarahi  anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan  antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali.
Nabi Ibrahim :  Dimana suamimu?
Menantu :  Dia tiada dirumah. Dia sedang memburu.
Nabi Ibrahim :  Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga? Mudah-mudahan dalam kesenangan?
Menantu :  Syukurlah kepada tuhan, kami semua  dalam  keadaan sejahtera, tiada apa yang kurang.
Nabi Ibrahim :  Baguslah kalau begitu.
Menantu :  Silalah  duduk  sebentar.  Boleh  saya  hidangkan sedikit  makanan.
Nabi Ibrahim :  Apa pula yang ingin kamu hidangkan?
Menantu :  Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu.
Nabi Ibrahim :  (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku!  Berkatilah  mereka dalam makan minum mereka. (Berdasarkan peristiwa  ini, Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah
berkat doa Nabi Ibrahim).
Nabi Ibrahim :  Baiklah, nanti apabila suamimu  pulang,  sampai- kan salamku kepadanya. Suruhlah dia menetapkan  tiang pintu rumahnya sebagai kiasan untuk  mengekalkan isteri Nabi Ismail).
Apabila  Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti  biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang datang mencarinya.
Nabi Ismail :  Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?
Isteri :  Ya,  ada.  Seorang  tua yang  baik rupanya dan perwatakannya sepertimu.
Nabi Ismail :  Apa katanya?
Isteri :  Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail :  Apa jawapanmu?
Isteri :  Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun  yang kurang. Aku ajak juga dia makan  dan minum.
Nabi Ismail :  Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri :  Ada, dia berkirim salam buatmu dan  menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail :  Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang  pintu yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan.
Isteri :  Alhamdulillah, syukur.

Bagaimana pandangan pembaca tentang petikan sejarah ini? Kisah sejarah ini sungguh menyentuh jiwa. Anda juga  tentu  merasai  dan  mengalami  sendiri  ujian   hidup berumahtangga  yang  sentiasa  perlukan  kesabaran.
Berpandukan sejarah  tersebut, bolehlah kita tegaskan kepada  diri sendiri bahawa isteri solehah itu sepatutnya ‘sabar di hati dan syukur pada wajah’. Daripada sini akan terpancar ketenangan setiap kali  suami  berhadapan dengan  isteri  solehah. Isteri solehah tidak cerewet  dan  tidak mudah merungut. Isteri solehah hendaklah sentiasa bersyukur dalam keadaan senang  mahupun  susah  supaya  Allah  tambahkan  lagi rahmat-Nya seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya  jika  kamu  bersyukur,  pasti  Aku tambahkan  nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.”  (Surah Ibrahim, ayat 7)
Untuk menambahkan kegigihan kita berusaha menjadi isteri solehah, ingatlah hadith Rasulullah yang bermaksud:
“Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada  kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui  haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit sekali golongan kamu yang dapat melakukan demikian.”
(Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)
Begitulah,  untuk  menyediakan  diri  sebagai isteri solehah,  hati  kita  hendaklah sentiasa  dipenuhi  dengan  kasih sayang rabbani. Contoh teladan yang sepatutnya jadi rujukan kita ialah sejarah kehidupan nabi serta orang soleh.
http://mujahidahpemburusyahid.blogspot.my/

February 7, 2014

ISTERI AMANAH BESAR DARI ALLAH...

Posted by - 0 comments
ISTERI AMANAH BESAR DARI ALLAH...

Untungnya seseorang lelaki jika dapat menikahi seorang wanita yg tahu tuntutan agama, terutamanya dari segi pakaian, jika tuntutan ringan dari Allah itu dpt dipatuhi, inShaaAllah dia mudah taat pada suaminya....

Tapi, jangan sampai tidak ambil tahu apa yang isteri pakai, mahupun dia berniqab sekalipun, lihat dari semua segi, jubah, tudung, mahupun perhiasannya. Dia juga wanita biasa, lemah dan nafsu untuk cantik2 itu ada, tidak hairanlah dia mudah jatuh dengan pujian lantas lalai dengan pakaiannya sendiri. Jika sudah hanyut dengan nafsu ingin cantik yang berlebihan, risau teguran menjadi cacian. Makeupnya yang berlebihan menjadikan dia badut mainan umum tika syaitan menutupi matamu.

Suami, Jangan tidak ambil tahu bagaimana isteri mengendali laman sosialnya, ambil tahu juga gambar apa yang isteri upload. Jangan biarkan dia menjadi fitnah kerana membuka aibnya sendiri.
Ambil tahu jumlah gambar yang dia paparkan sewenang-wenangnya tanpa kawalan, jika terlalu banyak, tandanya dia mulai hanyut... lupa tentang fitnah yang mudah sekali menjentik wanita akhir zaman.

Suami, ingatlah semuanya akan dipertanggungjawabkan pada kamu nanti... Jangan buat tak tahu...

Ambil tahu hal isterimu walau seringan-ringan warna pakaiannya,
Apatah lagi sebesar-besar fitnah yang terbuka mudah sekali...

Wanita insan kuat, tapi mudah lemah dengan hal-hal keindahan dunia,
Itulah tugas suami melengkapi kekurangan,
menguatkan kelemahan,
memperingatkan ketika lalai..

Jagalah isterimu sebaiknya...
Sungguh ISTERI AMANAH BESAR DARI ALLAH...

January 21, 2014

Niqabis dan fesyen...

Posted by - 2 comments

Assalamualaikum wbt...

Sudah lama tidak menulis sedikit perkongsian di dalam blog ini, inShaaAllah semoga penulisan ini membawa manfaat.
Dewasa ini, untuk melihat muslimah berniqab sangat mudah sekali, dimana-dimana sahaja bisa kelihatan, terutamanya dalam majlis-majlis ilmu, Alhamdulillah semakin ramai yang sedar akan indahnya niqab ini. Seorang perempuan tidak lari dari ingin cantik, dan Niqabis (wanita berniqab) juga seorang perempuan yang suka akan kecantikan dan ingin melahiriahkannya...

Tidak salah bagi setiap wanita untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa selagi panduan syarak diutamakan dalam semua keadaan dan mampu mengawal diri supaya tidak melanggar  batasan yang di gariskan dalam Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.
Islam juga tidak pernah melarang umatnya untuk berfesyen dan mengikuti aliran fesyen terkini tetapi pastikan setiap wanita yang bertudung menutup aurat keseluruhannya bukan sekadar melepaskan batuk ditangga.
Niqabis dan fesyen, memang mungkin pelbagai makna yang terlintas dalam benak kita, Niqab seperti yang kita sedia tahu, untuk melindungi diri dan sebagai satu langkah besar untuk mendekatkan diri kepada Pencipta. Terpulang pada niqabis itu sendiri untuk mentafsir niqab itu bagaimana dalam dirinya, kerana setiap dari niqabis punya kisah masing-masing dalam menuju langkah itu. Dan pasti ilmu lah yang membantu kesempurnaanya. Tanpa ilmu pasti pemakaiannya camping...

Mengenai diri ana sebagai niqabis, ada yang mengatakan ana suka berfesyen..? jujur,  sejak kecil saya sukakan kelainan dan suka membawa gaya tersediri. Tapi sebagai wanita yg banyak kelemahan, kita perlukan seseorang yang boleh memberi pendapat tentang pakaian terutamanya suami sebagai kata "Pendapat di mata lelaki" tentang pakaian yang dipakai. Kadang ana tersilap juga, kerana itulah pentingnya muhasabah diri dan sering bertanya niat di dalam hati. Itulah indahnya perkahwinan, melengkapi dan memperbaiki kelemahan dan kekurangan, InShaaAllah…
Dalam pakaian, ana tidak berapa suka pakaian atau jubah yang bercorak, memang ada memilikinya, tapi jumlahnya terlalu sedikit, pakai pun jarang sekali, dan 3 helai blouse bercorak minimum 3 warna dan corak ringkas ana gunakan dalam aktiviti yang mungkin agak lasak bagi niqabis contohnya ketika menjadi jurugambar.
Untuk tudung pula ana menggunakan tudung plain kebiasaannya, tudung bawal bercorak ringkas kebanyakannya brand Akel atau Rozella, dan hanya ada 1 helai tudung bercorak penuh. Fesyen tidak semestinya pakaian yang mesti bercorak-corak colour blocking dan sebagainya, pada ana yang meminati fesyen, Simple and Plain sudah memadai untuk mencapai tahap fesyen itu sendiri.  Jujur ana pelik juga bila ada mengatakan ana "OVER" dalam bergaya. Jujur demi Allah ana tidak kisah, mungkin ada kesilapan ana dimana-mana yang ana tidak sedar. terima kasih bagi yang menegur.. :)

Pada siapa yang mengenali ana, atau follower ana di laman instagram, perasan tak pakaian ana..?, tudung mahupun niqab mostly plain sahaja, Sekali dua sahaja yang bercorak. Dan pada yang tahu laman niaga ana, Ruuhul Hubbi Collection, jika anda perasan kebanyakan barang jualan fabrik yang plain. Ramai juga bertanya kenapa tak jual bercorak-corak, tetapi cukuplah begitu sahaja. Kita ada gaya kita sendiri, dan semua orang tahu cantik itu subjektif dan pada ana, cantik itu simple dan mudah. Ana sangat ‘respect’ pada niqabis atau muslimah lainnya yang sentiasa memakai hitam, dan sangat kamugi mereka yang pandai menjaga setiap pemakaian dan aurat mereka.

Sebagai niqabis sendiri sejak sekian lama, jujur agak terkejut dengan kecutan fesyen dalam golongan niqabis sendiri. Semakin ramai yang berani menampilkan diri dengan gaya-gaya pemakaian dan gaya-gaya yang pelbagai. Sebagai seorang isteri, setiap kali membeli pakaian, atau beniat hendak membeli. Ana akan tunjukkan pada suami, contoh corak malah lebih selesa jika ditemani oleh dia sendiri. Bagaimana pendapatnya kebanyakan tentang corak-corak yang ada. Dengan itulah banyak membuka minda dan mata ana dalam apa sebenarnya pandangan lelaki kepada wanita berniqab dan pakaiannya.  Salah satu pakaian yang tidak sesuai mengikut pandapatnya adalah pakaian yang bercorak binatang seperti "leopard pattern" dan lain2 corak yang sangat berlebihan, ditambah dengan warna-warna "striking color" , colour blocking dan pelbagai lagi gaya pakaian termasuk tudung itu sendiri, niqab , kasut , perhiasan dan sebagainya. Saya hormati pendapatnya sebagai lelaki, dan begitu juga pendapat mata-mata lelaki yang lain yang mengatakan gaya-gaya ini sememangnya sangat menarik perhatian lelaki, apatah lagi berniqab, pasti mata-mata setiap insan menoleh ingin tahu dan tergamam dengan gaya si niqabis itu tadi. 

Suami dan sahabat mahupun keluarga seringkali terkejut melihat niqabis yang begitu berani memakai pakaian-pakaian sebigini hingga dikatakan sebagai pelik, mahupun di hadapan mata dan laman internet sekalipun. Bukan kerana pakaian itu salah, tapi kerana hilanglah tujuan niqab itu tadi... Kerana jelas pakaian-pakaian itu adalah pakaian yang menarik perhatian dan mata-mata di sekeliling kita. Maafkan ana jika ana silap, tapi inilah hakikatnya, kebenarannya yang tidak mungkin bisa tertolak. Semua ini bukan untuk niqabis lain saja, tapi teguran tegas untuk diri ana sendiri.

Ya, memang benar, kita tidak mampu mengelakkan mata-mata disekeliling kita untuk memandang, kerana niqab itu sendiri membawa tarikan kepada yang tidak biasa akannya di akhir zaman ini, tapi kenapa kita memilih untuk lebih lagi dilihat dan tertawakan, seolah-olah niqab itu tiada ertinya lagi kerana rosak dek gaya dan warna pakaian yang melampau.

Adab dan akhlak buruk dalam berniqab jelas merosakkan makna dalam muslimah itu sendiri, yang bukan hanya untuk yang berniqab tetapi semua yang bergelar muslimah, tapi muslimah berniqab sepatutnya dijadikan contoh dan sememangnya perspektif manusia menganggap wanita muslimah berakhlak baik "sepatutnya" kerana tanggapan kebiasannya mereka ber'ilmu' yang faham lebih tuntuan agama. Tapi hilanglah maksud itu jika posing-posing di dalam gambar yang ditunjukkan "over" seperti terkinja-kinja dan selfie yang tidak manis kelihatannya. Apatah lagi jika pergaulan dengan lelaki yang berhak dikahwini nya tidak dijaga batasnya...
Ana bukanlah niqabis yang berpendapat meletak gambar di laman sosial atau di mana sekalipun itu salah, kerana apa yang harus dilihat di luar, harus dilihat di mana pun, tapi boleh menjadi haram jika salah caranya dan tujuannya dipakai saja-saja untuk menarik perhatian. (Boleh rujuk jawapan Ustaz Azhar Idrus di link ini - Hukum Wanita Meletakkan Gambar di Internet )  Tetapi biarlah setiap gambar itu indah beradab dan berakhlak seiring dengan keindahan niqab itu sendiri, dan sama juga dengan komen-komen yang bermain di dalamnya , baik dan beradab pertuturannya.

Semua yang bernama wanita ingin cantik, bukan sahaja pada pakaian , tapi juga pakai wajah dan mata umumnya pada yang memakai niqab.  Tidak salah bermake up, tapi cukuplah menghilangkan pucat di wajah atau lingkaran mata yang gelap . Smokey eyes dan celak yang sedikit dan ringan. (Boleh rujuk –Hukum Bersolek). Cantik bermake up, bercelak, eyeliner atau contact lens yang pelbagai marna , memang kesukaan ramai wanita, tidak kurangnya mereka yang memakai niqab, tapi biarlah berpada-pada dan warna nya natural. Bukanlah untuk tujuan hendak dipuji-puji tapi memadai untuk cantik dimata suami… lantas jika dipuji, untuk apa mendapatkan pujian dengan mata cantik , bulat , besar tapi palsu semata-mata dengan contact lens yang dipakai. 
Pemakaian celak yang berlebihan - gmbr sekadar hiasan
Pemakaian celak yang berlebihan - gmbr sekadar hiasan

Cantiklah, mahupun dengan fesyen sekalipun, Niqab tidak pernah menghalang untuk cantik, kerana itulah Islam datang dengan memberi panduan jelas untuk kita manusia.  Apapun yang kita pakai, kita hiaskan diri kita, jangan sesekali  berkeinginan untuk menarik perhatian kaum lelaki dengan pakaian , barang perhiasannya, wangian yang digunakan, mahupun melalui suaranya. Larangan Allah swt agar tidak menzahirkan perhiasan yang tersembunyi bagi wanita adalah untuk membezakan wanita muslimah dengan wanita di zaman jahiliyyah yang suka menghentak-hentakkan kakinya untuk mendengarkan bunyi nyaring loceng kaki yang biasanya mengkhayalkan kaum lelaki. Allah berfirman “ Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung”Surah An Nuur :31

Demi Allah artikel ini bukan untuk menuding sesiapa, Cuma ingin menyedarkan diri dan hati yang lupa. Sebagai wanita yang berkeinginan, ana juga pernah jatuh dengan godaan cantiknya dunia, oleh sebab itu ana tidak mahu niqabis lain hanyut. Sama-samalah menjaga erti niqab itu, janganlah merosakkan keindahannya dengan bermain dan memperolokkanya dengan gaya-gaya yang tidak sepatutnya. Pakailah niqab jika mahu, sunggah niqab itu hak exclusive setiap muslimah yang ingin mahu menikmati keindahannya dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kasihanilah pada yang ikhlas memakainya dimomok-momokkan oleh manusia yang tidak faham dek kerana segelintir mereka yang menyalah gunakan niqab ini.

Teguran untuk para suami, ambil tahu apa yang dipakai oleh isteri, mahupun dia seorang yang berniqab sekalipun. Ingatlah kebertanggungjawaban anda sangat besar di akhirat nanti…

Ingat, Islam tidak melarang seseorang itu untuk berfesyen namun perlulah mengikut sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan sederhana. Persoalan penting juga adalah bagaimanakah niat kita ketika berfesyen? Dan kita sewajibnya menghiaskan fesyen kita yang diharuskan syarak itu tadi dengan penuh rasa ketaqwaan sepertimana firman Allah swt : “Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik”.

Janganlah pula kita merendahkan mereka yang sukakan kelainan gaya ini, mungkin Allah menerima usaha mereka menutup aurat dan niqab mereka, tetapi tidak kita… Sama-sama sentiasa muhasabah diri, iman dan pakaian kita. Semoga Allah memelihara kita semua dengan rahmatNya dan dengan kasih sayangNya kita beroleh keampuanan serta dijauhkan daripada hanyut dengan godaan dunia di akhir zaman ini.. Allahumma Aamin..

wallahualam bishawab…





April 26, 2012

Kenapa Lelaki Sanggup Berbelanja Tinggi untuk Mendapat Seorang Isteri?

Posted by - 0 comments

Kenapa Lelaki Sanggup Berbelanja Tinggi untuk Mendapat Seorang Isteri?


Kenapa seorang lelaki sanggup berbelanja beratus malah beribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan seorang isteri? 

Seorang lelaki sanggup berbelanja beratus malah beribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan seorang isteri kerana untuk mengisi permintaan hati (fitrah)nya yang ingin kepada belaian dan penyerahan seorang wanita, layanan dan kemanjaan serta pengurusan dirinya oleh isteri. Dan lebih jauh dari itu untuk mendapatkan anak dan keriangan dalam rumahtangga. Semua itu adalah tuntutan semulajadi yang ada dalam diri semua lelaki dan tidak boleh tidak, wajib dipenuhi. 


Kalau tuntutan itu tidak diisi, jadilah kekosongan dan kesunyian dalam ruang dada si suami itu. Kalau begitu tiadalah bermakna lagi rumahtangga, isteri dan anak-anak padanya. Suami tidak akan bahagia dan hatinya tidak akan tenang sekalipun rumahnya besar, wangnya bertimbun dan dililiti dengan segala kemewahan.


Tidak akan terhibur hati suami kalau rumahtangga dan anak pinak berkecamuk, tidak terurus. Tidak akan bahagia suami yang berdepan dengan sikap dan cakap-cakap isteri yang tidak menumpukan sepenuh kasih sayang padanya. Bertambah-tambah tidak bahagia lagilah bagi seorang suami itu bila isterinya lebih menjaga kepentingan diri sendiri dari memenuhi kehendak dan kemahuan suami.
                                                                                                            


Assalamualaikum..

Menarik kan artikel ni, dr halaqah.net.

Alhamdulillah, ade hikmahnye setiap apa yang kita baca even lihat.
Teringat kembali saat mula-mula hendak berkahwin, memang sangat banyak suami keluarkan duit untuk menyempurnakan majlis, semata-mata ingin memiliki ana sebagai isterinya.
Merenung kembali kesilapan sebagai isteri, muhasabah diri. Adakah layanan dan tanggungjawab dilaksanakan sebaiknya. Terima kasih ya Allah ats petunjuk dan hidayah Mu. Mungkin segala kesibukan mungkin telah menyimpang dari tanggungjawab dan pembahagian masa untuk rumahtangga. 


Buat Suami yang teramatlah disayangi, terima kasih atas segala pengorbanan dan kasih sayang. Atas kebaran melayan karena isterimu yg pelbagai. Insya`Allah isterimu akan mencuba yg terbaik lagi untuk menjadi sebaik-baiknya.. :) 
Amin, Insya`Allah.. 



November 27, 2011

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 1

Posted by - 0 comments


MANDI BERSAMA-SAMA ISTERI
Imam Al-Bukhari meriwayatkan;

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ تَخْتَلِفُ أَيْدِينَا فِيهِ

Maksudnya;
“Daripada Aisyah R.Ha berkata : aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu)[1]


HURAIAN

Dari hadis ini, kita dapat melihat bagaimana indah dan romantiknya Nabi Saw dengan Isteri-isterinya. Gambaran romantic ini, dirakamkan sendiri oleh Aisyah yang bercerita bagaimana Baginda SAW boleh mandi bersama-sama sehingga tangan mereka berselisih dan berganti-gantian.

Mandi yang dimaksudkan dalam perbincangan ini, tidak dikhususkan kepada mandi biasa, bahkan termasuk juga mandi jinabah atau disebut sebagai mandi wajib.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim, ada dinyatakan;

كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ وَنَحْنُ جُنُبَانِ

Maksudnya;
“Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub[2]


Tindakan nabi SAW ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama, bahkan Aisyah juga pernah bercerita bahawa ketika sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah[3].

Dan pernah sambil mandi, mereka bergurau-gurau. Mereka berdua bermain-main air, dengan berebut-rebut mengambil air sehinggakan Aisyah dalam suasana sedang berseronok-seronok meminta kepada Nabi agar air itu disimpan untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW[4].

Bahkan dalam hadis yang lain, Ummu salamah pernah bercerita bahawa dia mandi bersama dengan Nabi SAW dan ketika itu Baginda menciumnya. Hal ini berlaku, ketika Baginda sedang berpuasa[5].

Dengan ulasan ini, penilaian yang kita dapat ambil adalah, sebagai manusia yang menjadi Umat Nabi Muhammad SAW, selayaknya kita mencontohi amalan Rasulullah SAW ini.

Anggapan yang mengatakan bahawa mandi bersama-sama dengan Isteri merupakan amalan jelek, merupakan satu anggapan yang salah dan tersasar dari ajaran islam. Bahkan, jika ditanya kepada kaum hawa, pasti mereka akan merasakan dihargai jika mereka diperlakukan sedemikian oleh suami mereka.

Sebagai isteri pula, tidak selayaknya kaum hawa menolak apabila di ajak oleh suami mereka untuk mandi bersama. Lihatlah Aisyah dan Ummu Salamah yang tidak menolak ajakan Nabi SAW untuk mandi bersama-sama. Bahkan, dilihat bahawa Aisyah amat berbangga dengan tindakan Nabi yang mandi dengannya sehingga sanggup menceritakan hal ini. Jika tidak, masakan kisah ini dibukukan dalam kitab-kitab hadis.

Sekian


[1] Sahih Al-Bukhari : hadis no : 253.
[2] Sahih Muslim : 482.
[3] Sahih Muslim : 498.
[4] Sunan An-Nasai : 239.
[5] Mushad Ahmad : 25355.

September 4, 2010

Isteri Solehah & Perbaiki isteri

Posted by - 2 comments
      Memilih Isteri dengan baik

“ Dan, kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang ( berkahwin ) dari hamba-hambanya sahayamu yang lelaki dan hamba-hambanya sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan, Allah Maha Luas ( pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (An-Nur : 32 )



Ciri – ciri isteri Solehah yang telah ditetapkan dalam sunnah Rasulullah saw:

  • Menjalankan Perintah agama, wanita yang cantik, yang kaya yang baik keturunannya dan beriman.
  • Wanita Solehah, seperti hadis Rasulullah saw bahawa dunia ini seluruhnya adalah kesenangan. Tetapi sebaik-baik kesenangan di dunia adalah isteri yang solehah.
  •  Membantu suami ke jalan kebaikan, Rasulullah saw bersabda “ Hendaklahnya kalian memiliki hati yang selalu bersyukur, lidah yang selalu berzikir, dan isteri mukminah yang menolongnya melakukan urusan akhirat. 
  •  Wanita Penyayang dan Berketurunan, Rasulullah saw bersabda “ Nikahilah wanita yang penyayang dan berketurunan atau boleh melahirkan zuriat, sebab aku akan membanggakan kalian di hadapan para nabi kelak di hari kiamat”



Rasulullah saw menjelaskan jika wanita solehah adalah satu perkara yang membawa kebaikan dalam hidup seorang lelaki, maka wanita yang buruk ( jahat ) adalah salah satu dari empat perkara yang mendatangkan penderitaan, seperti yang disebutkan dalam hadith sahih yang bermaksud: “ Di antara yang mendatangkan kebahagian itu ialah perempuan solehah yang jika kamu melihatnya maka akan membuatmu terhairan-hairan, dan jika kamu meninggalkannya berpergian maka dia akan menjamin keamanannya pada dirinya dan hartamu. Dan diantara yang mendatangkan penderitaan ialah wanita yang jika kamu melihatnya akan bersikap buruk padamu dan melontarkan kata-kata yang kasar kepadamu, dan jika kamu meninggalkannya pergi maka kamu tidak akan merasa aman pada dirinya dan hartamu.


Berusaha memperbaiki Isteri

Apabila isteri itu seorang yang solelah, maka itu merupakan kenikmatan dan anugerah Allah. Tetapi, jika ia tidak solehah atau tidak baik, maka merupakan kewajipan pemimpin rumah tangga untuk berusaha memperbaikinya. Perkara ini boleh terjadi kerena beberapa sebab, diantaranya jika seorang lelaki mengahwini wanita yang pada dasarnya tidak taat agama, kerana lelaki tersebut pada mulanya tidak memberi keutamaan pada aspek keagamaan calon isterinya, atau ia menikahinya dengan harapan dapat memperbaikinya kemudian, atau kerana desakan dan paksaan keluarganya. Namun, ia hendaklah terlebih dahulu mengetahui bahawa yang memberi hidayah itu Allah, dan Allahlah yang sebenarnya memperbaiki keadaan. Selain dari mendidik suami hendaklah sentiasa berdoa semoga isteri mereka akan berubah menjadi insan yang lebih baik dan akhir sekali bertawakkal kepada Allah. 



Untuk memperbaiki isteri ada beberapa cara:

1. Memberikan tumpuan untuk memperbaiki cara peribadatannya kepada Allah Taala.

2. Berusaha memperbaiki aspek keimanannya, seperti:

  • menganjurkannya melakukan qiyamullail ( solat malam )
  • menganjurkan supaya rajin membaca Quran menganjurnya untuk menghafal zikir-zikir dan doa-doa serta mengingatkannya agar melakukannya pada waktu-waktu dan kesempatan-kesempatan yang di anjurkan.
  • Mendidiknya agar rajin bersedekah
  • Menyuruhnya agar membaca buku-buku leislaman yang bermanfaat
  • Menyuruhnya agar mendengar kaset-kaset keIslaman yang berfaedah, baik yang berkenaan dengan ilmu pengetahuan mahupun pembinaan keimanan, serta terus berusaha untuk menyediakan kaset-kaset tersebut.
  • Memilih sahabat-sahabat dari kalangan wanita-wanita yang beragama, dan mengikat tali persaudaraan bersama mereka, sebagai teman berbincang dalam kebaikan dan salint kunjung-mengunjungi dengan tujuan-tujuan yang bermanfaat.
  • Mencegahnya dari melakukan kejahatan dan menutup pintu-pintunya dengan cara menjauhkannya dari bergaul dengan teman-teman yang buruk perangainya dan menjauhi tempat-tempat kejahatan.




Sahabat...

.......

 

Cahaya Malam Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos