May 30, 2010

HAWA

Posted by - 0 comments

HAWA........


Zahirnya kau tampak lemah,


kudratmu tak seberapa,


gerakmu lembut tidak sepantas Adam,


suaramu halus tak mampu menggertak,


suaramu juga ibarat gelombang yang menusuk jiwa,




NAMUN.......


Kau punyai kelebihan sendiri,


kuatmu dalam lemah,


tangkasmu dalam lembut,


renunganmu yang bisa menggertak jiwa,


membingung fikiran,


menatapmu bisa membuat iman lemah,


Sang Gagah menjadi lemah,


Si Waras menjadi gila,


Sahabat berbunuhan,


serumu menusuk qalbu,




MAKA.......


Hargailah maruah dan dirimu,


tak perlu kau jadikan dirimu gagah,


untuk bergelar srikandi,


tak perlu kau jual dirimu,


untuk keperluan duniawi,


hargailah apa yang telah dikurniakan,


nescaya engkau akan bersyukur..........

May 18, 2010

ANJURAN BERKAHWIN

Posted by - 0 comments
Manusia adalah suatu kejadian ciptaan Allah swt. yang paling baik bentuk dan rupa parasnya, berbanding dengan makluk-makluk lain. Mempunyai akal fikiran, perasaan dan nafsu keinginan. Keinginan kepada perkelaminan merupakan tabiat semulajadi seluruh makluk di dalam alam ini. Pada permulaan alam, Allah swt mencipta Adam sebagai manusia pertama, kemudian darinya Allah ciptakan pasangan Hawa supaya perkelaminan bermula seiring dengan permulaan alam. Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai manusia bertaqwalah kepada Allah yang menciptakan kamu dari satu diri (nafs) dan menjadikan pasangan dari dirinya sendiri. Dan membiakkan dari keduanya manusia lelaki dan perempuan yang banyak. Dan takutlah kepada Allah yang kamu minta-minta dengannya dan peliharalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu.”
Islam yang memahami tabiat dan sifat-sifat semulajadi manusia telah mengizinkan perkahwinan. Rasulullah saw. sangat menyuruh dan menggalakkan umatnya berkahwin atau mendirikan rumahtangga. Rasulullah saw telah bersabda:
“Hai, para pemuda barangsiap dari kalangan kamu berdaya mengadakan belanja kahwin, maka hendaklah kamu kahwin kerana nikah itu lebih pada menundukkan pandangan dan lebih menyelamatkan akan kemaluan. Kerana puasa itu ibarat kebiri.”


TUJUAN BERKAHWIN

Posted by - 1 comments

Berhubung dengan persoalan kahwin atau nikah ini, kita perlu mengetahui apakah tujuan kita kahwin. Bagi orang Islam yang sebenar, tujuan perkahwinannya atas mencari keredhaan Allah, bukan sekadar ikut-ikut atau bertujuan untuk berseronok-seronok.
Oleh itu niat kita hendak mendirikan rumahtangga kita itu mestilah betul seperti yang dikehendaki oleh Allah swt. Kalau niat mendirikan rumahtangga tidak betul mengikut kehendak Allah dan Rasul, maka keluarga yang didirikan tidak akan mendapat pimpinan dari Allah swt. Sekiranya kita sudahpun mendirikan rumahtangga, tidak salah kalau niat ini kita perbetulkan semula.
Niat yang pertama yang mesti kita pasang dalam mendirikan rumahtangga kita ialah untuk mendapat sebanyak-banyak anak yang soleh. Allah dan Rasul memang menghendaki niat seperti ini kerana muka bumi ini adalah diserahkan oleh Allah swt kepada manusia-manusia untuk ditadbirkan dengan baik mengikut peraturan-peraturan yang telah Allah berikan.
Manusialah yang telah dijadikan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Aku hendak jadikan khalifah-khalifah di muka bumi ini.”
Rasulullah saw juga penah bersabda:
‘………..kerana aku berbangga di hari kiamat nanti dengan ramainya umat-umatku dibandingkan dengan umat Rasul-Rasul sebelumku.”
Yang dimaksudkan dengan umat di sini ialah hamba-hamba Allah yang patuh dan tunduk kepada perintah-perintah Allah serta yang beriman kepada Allah dan Rasul. Adalah hikmah dan rahsia pada ramainya bilangan isteri Rasulullah saw itu ialah supaya menggemarkan umat Islam pada membanyakkan bilangan umat Islam.

KERUGIAN BAGI WANITA YANG MENOLAK PERKAHWINAN

Posted by - 0 comments

Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antaranya memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.
Justeru itu ramai yang lebih rela jadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan karier kerjanya.
Sebelum ini saya ada memberi pandangan bagaimana hendak menyelesaikan masalah andartu. Kali ini saya akan dedahkan pula tentang kerugian wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang ada peluang berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang saya sebutkan di atas tadi.
Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan negatif untuk melahirkan cahaya.
Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa seperti di barat. Sungguh pun demikian pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat.
Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak. bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam salehah dan menjadi ahli syurga di akhirat adalah amat mudah. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah:
“Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki.”
Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami.

PERTUNANGAN MENGIKUT SYARIAT

Posted by - 0 comments


Sebelum seorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya. Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Tuhan sebagai pokok utama.
Pertama; adakah fardhu ain si lelaki benar-benar beres sebab suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri bila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan perlaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan secara berjemaah. Memerhati matlamat perniagaan dan perusahaan atau matlamat dalam pekerjaan lelaki berkenaan.
Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sejahteranya rumahtangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumahtangga. Tidak hairanlah bila lepas kahwin kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya anak-anak tidak taat kepada ibubapa dan isteri jadi ‘Queen Control’ kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir rumahtangga menurut hukum Islam.
Ibubapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.
Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya.”
Rasulullah saw bersabda lagi:
“Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu redha terhadapnya agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”
Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan samada mahu menerimanya atau tidak, cuma secara beradapnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu. Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan. Sebab pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan berakhlak mulia.

WALIMATUL URUS YANG HARAM...!

Posted by - 0 comments

Pengamalan adat nikah gantung adalah orang yang bertanggungjawab mengharamkan yang halal. Mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syariat Islam bila mana ijabkabul dilafaskan dan disahkan, maka jadilah lelaki dan perempuan itu sebagai suami isteri yang sah, maka halallah bagi mereka apa yang diharamkan sebelum ini seperti persetubuhan dan sebagainya dan masing-masing mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan seperti nafkah dan sebagainya termasuk nafkah batin. Ketahuilah bahawa mengharamkan yang halal sama dengan syirik.
Dalam soal upacara bersanding, telah sepakat ulama mutaakhirin bahawa hukum bersanding itu adalah “HARAM”. Walau bagaimanapun para ulama berbeza-beza di dalam mengutarakan sebab atau mengapa bersanding itu haram.Ada ulama mengatakan sebab bersanding itu haram kerana pekerjaan tersebut adalah merupakan satu pekerjaan bidaah (satu perkara yang diada-adakan) iaitu pekerjaan yang tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah saw mahupun di zaman para sahabat. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan kerjakanlah segala apa yang didatang Rasul, serta hentikanlah segala apa yang dilarangnya.”
Dalam pada itu, ada juga pendapat ulama mengatakan bahawa bersanding itu haram disebabkan terdapat beberapa perbuatan yang melanggar batas-batas syarak seperti pakaian yang mendedahkan aurat, percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan muhram, pembaziran, memakai bau-bauan dan sebagainya.Perbelanjaan untuk membuat pelamin sekurang-kurangnya ratusan ringgit, bahkan adakalanya sehingga ribuan ringgit dihabiskan. Ini merupakan pekerjaan yang membazir. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.”
Pendedahan aurat berlaku berleluasa di majlis tersebut, terutamanya pengantin perempuan. Rasulullah saw bersabda:
“Ada empat golongan perempuan di dalam neraka; Perempuan yang tidak menutup dirinya (auratnya) daripada lelaki bukan muhram dan keluar daripada rumahnya dengan melawa-lawa;…… perempuan yang bersifat dengan sifat-sifat demikian ini adalah dilaknat, menjadi ahli neraka kecuali mereka bertaubat.”
Sebuah hadis Rasulullah saw lagi:
“Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar lantas melintasi suatu kaum lelaki (bukan muhram) agar mereka tercium bau harumnya, maka ia adalah penzina, dan tiap-tiap mata yang memandang itu zina.”
Manakala ulama lain pula berpendapat bersanding merupakan satu yang jelas haram kerana ia adalah warisan, ikutan dari amalan masyarakat Hindu dari zaman berzaman. Sedangkan kita umat Islam adalah dilarang untuk mengikut amalan orang kafir. Islam menyuruh umatnya menjadi satu umat yang berbeza dari lain-lain umat samada dalam adatnya, dalam iktiqadnya, dalam pakaiannya dan lain-lain.
Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiap menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dari golongan mereka.”
Rasulullah saw. bersabda:
“Bukan dari golongan kita umat Islam barangsiapa menyerupai kaum yang lain daripada kita.”

UNTUKMU WAHAI INSAN BERNAMA WANITA

Posted by - 0 comments
Adam bukan tidak ingin menegurmu..
Bukan jua ingin mengiyakan setiap tingkah laku mu..
Namun terkadang adam hanyut dalam pesona kelembutan dirimu..
Membuatkan kami lalai dan lupa pada tanggungjawab kami sebagai pembimbingmu..

Adam itu dicipta dengan 9 akal..
Namun kerana akal-akal yang banyak itulah, kami banyak berimaginasi..
Banyak juga kerosakan yang kami lakukan di muka bumi..
Sehingga kami lupa pada fitrah kejadian kami sebagai insani..

Duhai wanita..

Adam amat suka kiranya dirimu lebih pandai menjaga dirimu..
Cukupkan ilmumu seadanya yang engkau termampu..
Kerana bukan kami tidak ingin mengajarkan dirimu..
Tapi selagi dirimu belum lagi sah menjadi milik kami, kami amat malu untuk mendekatimu..
Apatah lagi ingin menegur setiap tingkah laku mu..

Ingatlah duhai wanita..
Hiasilah dirimu sebaik-baik hiasan takwa..
Labuhkanlah pakaia
nmu dari pandangan liar adam..
Kuatkanlah akalmu yang
 nipis itu dengan iman dan amal..
Jadikanlah Khadijah mahupun Aisyah sebagai model ikutan sepanjang zaman..

Dan juga ingatlah duhai wanita..
Jangan kamu menjadi fitnah bagi adam..
Jangan kamu menjadi umpan syaitan untuk merosakkan iman adam..
Jangan kamu panahkan pandangan dan jelingan kamu pada si adam..
Juga jangan kamu sekali-kali menjadi cuma hiasan duniawi, tiada nilai di ukhrawi..

Sebaliknya jadilah insan penguat dan penolong perjuangan adam..Moga kelak sama-sama kita mengecap nikmat syurga abadi kurniaan Ilahi..


Fahami lelaki atau ...?

Posted by - 0 comments
Semua mengetahui bahawa wanita dan lelaki itu amat berbeza daripada segala segi. Cuma, ada segelintir masyarakat khususnya wanita sengaja memandang sepi perbezaan yang nyata disedari mereka.


Mungkin, golongan seperti ini perlu meneliti buku, 
For Women Only : What You Need to Know About the Inner Lives of Men hasil tulisan Shaunti Feldhahn.

Menariknya,buku ini menceritakan tentang kebenaran yang mengejutkan berkaitan lelaki hasil temubual penulis bersama lebih seribu kaum Adam:

1. 
Lelaki lebih suka rasa dirinya tidak disayangi daripada berasa serba kekurangan dan tidak dihormati.
- Para suami perlu tahu bahawa isteri mereka sebenarnya amat menghormati mereka tidak kira secara peribadi atau di khalayak ramai.
2. Lelaki akan bangga apabila mengetahui isteri mereka mempercayai dan mengagumi mereka.
- Kajian yang dilakukan Shaunti Feldhahn mendapati lelaki lebih suka melihat hilangnya perasaan sayang di hati isteri mereka daripada tidak dihormati oleh isteri masing-masing.

3. 
Kemarahan yang diluahkan lelaki dikatakan satu tindak balas yang sering dilakukan golongan itu apabila mereka berasa diri tidak dihormati oleh si isteri.
- Apabila suami marahkan isterinya, dia mungkin tidak akan berkata: "Awak langsung tidak menghormati saya". Tetapi, besar kemungkinan dia berasa terluka dengan salah satu perbuatan isterinya yang dianggap tidak menghormati dirinya sebagai suami dan itu merupakan satu penghinaan.
4. Lelaki mempunyai perasaan tidak yakin pada dirinya sendiri.- Mereka selalu berasa takut kemungkinan dilukai dalam hidup: tidak hanya berkaitan kerja, tetapi juga di rumah iaitu dalam memainkan peranannya sebagai seorang suami. Mungkin, mereka tidak menyuarakannya, tetapi hakikatnya mereka memang mudah dilukai.

Penawarnya? Tentulah pengakuan. Bagi lelaki, pengakuan daripada si isteri adalah segala-galanya. Pengakuan yang tulen daripada si isteri (bukan pujian) membuatkan lelaki rasa lebih yakin dan terjamin dalam menjalani kehidupan harian mereka.

May 16, 2010

DALAM MEMILIH PASANGAN...............

Posted by - 1 comments



Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita. Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya. Jika seseorang lelaki itu ada keinginan terhadap seorang wanita, maka dia hendaklah masuk meminang dan berkahwin.
Langkah itu bukan sahaja membawa kepada pahala kerana mengikut sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya daripada keburukan dan maksiat.

Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana sini dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing. Apatah lagi apabila hubungan berkenaan dengan sekadar suka-suka, tidakmembawa kepada pernikahan. Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan tersebut akan terbawa-bawa kepada zuriat nanti. Allah sangat mengharapkan lahir dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas.
Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci kepada orang yang suka membujang sampai ke tua. Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat kelak. Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai persediaan yang perlu disiapkan sebagai bekalan dan jambatan untuk meniti alam berumahtangga.
Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup. Islam menegaskan pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang atau belum dan berbagai-bagai lagi. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik.”
Baginda bersabda lagi yang maksudnya:“Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya.”
Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calun isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.


C.I.N.T.A

Posted by - 0 comments

CINTA..
amat mahal takrifnya..
itu lah yang difitrah
oleh Allah S.W.T. kepada hambanya..
CINTA hanya tertulis pada perkataan
tapi gagal dilihat pada zahirnya kerana CINTA
itu tanggungjawab di mana wujudnya kesetiaan &
kejujuran di dalamnya..
ingat pada yang satu,jujur pada yang setia,
setia pada yang kasih,kasih pada yang rindu,
rindulah pada yang menyayangimu........
CINTA takkan datang kalau tak di cari...
CINTA takkan dapat kalau tiada siapa yang memberinya...
tapi mencari biarlah pada yang sudi &
bukan meminta simpati.....
inilah yang dinamakan sebuah CINTA yang sejati....

May 13, 2010

Ber'couple' HARAM??

Posted by - 4 comments
Tentu ramai yang tertanya-tanya. Tidak kurang juga yang tidak berpuas hati dengan pernyataaan di atas. Ada yang kata hukumnya harus. Mungkin ada yang kata makruh. Sememangnya kenyataan ini menimbulkan banyak kontroversi, lebih-lebih lagi di kalangan muda-mudi sekarang.

Apa Itu Ber’couple’?
Ber’couple’ merupakan suatu tradisi atau budaya yang telah dibudayakan oleh masyarakat remaja kini. Bermula dengan saling berpandangan mata, kemudian turun ke hati. Kemudian mereka akan saling mengutus senyuman dan cinta mula berputik. Bila rasa dah cukup sedia, masing-masing mula ‘masuk line’. Ada yang berbalas-balas nota, bagi yang lebih ‘advance’, teknologi SMS digunakan. Akhirnya apabila dua insan
berlawanan jantina ini sudah saling suka-menyukai, mereka akan mengisytiharkan ikatan percintaan mereka dan kemudian ber’couple’.
Pasangan kekasih ini akan merapatkan hubungan mereka serapat-rapatnya. Kalau di kelas, buat study group ataupun group discussion. Bagi yang kreatif, kad-kad ucapan ‘hand made’ yang pelbagai warna dan rupa akan dikirimkan. Bagi yang mengikuti peredaran semasa, teknologi SMS akan dimanfaatkan sepenuhnya. Kata ganti diri pada asalnya aku-kau ditukar kepada saya-awak, atau bagi mereka yang lebih intim, abangsayang dan sebagainya.
Kalau diperhatikan pasangan-pasangan yang sedang asyik dilamun cinta ini,hidup mereka tidak menentu, diibaratkan ‘makan tak kenyang,tidur tak lena, mandi tak basah’. Ungkapan-ungkapan cinta seperti ‘sayang awak’, ‘love you’, ‘miss you’ dan sebagainya akan menjadi sebahagian ucapan harian mereka. Sentiasa ceria dan tersenyum gembira, mengenangkan Si Dia yang datang bertandang ke hati. Ada pasangan yang serius, sampaikan sanggup berjanji nak sehidup-semati. Sanggup bersumpah, setia hingga ke akhir hayat. Ada juga yang hanya sekadar bermain-main, untuk suka-suka, dan sebagainya. Ringkasnya, pelbagai ragam yang boleh dilihat daripada pasangan yang ber’couple’ ini. Ada yang boleh meneruskan hubungan hingga ke jinjang pelamin dan ada juga yang kecundang di pertengahan perlayaran di lautan percintaan masing-masing.


Mengapa Ber’couple’ Haram?
Ya,mengapa? Sekarang kita kembali kepada persoalan pokok. Di sinilah timbulnya kontroversi di antara kita. Bagi yang ber’couple’, sudah tentu perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi dan pelbagai hujah ingin dikeluarkan bagi mempertahankan kesucian cinta mereka itu.

Sebagai seorang muslim, untuk menjawab persoalan ini, kita perlulah merujuk kembali kepada manual kita yang telah digarisi oleh Allah S.W.T. iaitu Al-Quran dan panduan iaitu As-Sunnah yang telah diwasiatkan kepada kita oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita. Ada yang berkata, Allah telah menjadikan makhluk-Nya berpasang-pasangan, lelaki dan perempuan, mengapa tidak boleh bercinta atau ber’couple’? Memang tidak dinafikan,dalam Al-Quran Allah ada berfirman, seperti dalam Surah Yasin(36) ayat 36:
“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa
yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka
ketahui.” 


Dan juga firman-Nya dalam Surah Al-Hujrat(49) ayat 13:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan
dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Meskipun begitu, ayat-ayat ini tidak menjelaskan yang kita boleh mengadakan hubungan percintaan dan berkasih kasihan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Banyak larangan Allah dalam Al-Quran yang melarang hubungan-hubungan ini. Percintaan bermula dari mata. Firman Allah, “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman:
"Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." Surah An-Nur(24) ayat 30. 


Dalam ayat ini, jelas Allah telah memerintahkan kita supaya kita menjaga pandangan kita daripada memandang perkaraperkara yang dilarang, termasuklah memandang wanita bukan mahram serta wajib bagi kita menjaga nafsu. Perintah ini bukan ditujukan kepada kaum Adam sahaja. Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman,

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya,...” Surah An-Nur(24) ayat 31.

Dua ayat dari Surah An-Nur ini sebenarnya terdapat dalam sukatan matapelajaran Pendidikan Al-Quran & Sunnah tingkatan 5. Para pelajar tingkatan 5 sepatutnya lebih jelas akan perkara ini. Daripada ayat ini jelas Allah melarang lelaki dan perempuan bukan mahram daripada saling berpandang-pandangan dengan niat untuk suka-suka, apatah lagi untuk memuaskan hawa nafsu. Dalil yang lebih kuat menetang hubungan percintaan ini terdapat dalam Surah Al- Israa’(17) ayat 32: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” Ayat ini memeng cukup popular di kalangan kita.

Ramai yang apabila ditegur dengan ayat ini akan menjawab,”Kami tidak berzina. Kami berbual-bual je” , “Kami keluar makan je” dan “Kami main SMS je.” Dan pelbagai 1001 alasan lagi. Para pembaca,sila teliti firman Allah tadi.Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah ‘walaa taqrobuu’ (jangan hampiri) dan bukannya kalimah ‘walaa ta`maluu’ (jangan melakukan). Ini menunjukkan, walaupun kita hanya mendekati zina, ia sudah pun HARAM! 
Mungkin ada yang tidak jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh, jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah HARAM.

Ini adalah dalil-dalil daripada Al-Quran. Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi muhammad S.A.W.? Dalam hadis, baginda rasulullah telah memperincikan jenisjenis zina. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :
Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.”

 Hadis kedua; Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya’
“Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”**

(Dua hadis di atas adalah sahih dan diriwayatkan oleh 4 orang imam, iaitu Al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Ghayatul-Maram. *Sahih Muslim, hadis ke 2281. **Sahih Muslim, hadis ke 2282)

Daripada dua hadis ini, jelas rasulullah menenyenaraikan bahangian-bahagian zina. Apabila kita memandang Si Dia dengan sengaja,menatapi wajahnya, dan sebagainya, zina mata berlaku. Apabila lidah kita digunakan untuk mengeluarkan katakata manis serta puitis, untuk memenangi hati Si Dia, membuatkan Si Dia tertarik kepada kita, lidah berzina. Apabila kita mendengar serta menghayati kelunakkan suaranya, telinga berzina.

Apabila berpegangan tangan, berjalan bersama ke arah menghampiri zina, tangan dan kaki berzina. Tetapi, yang paling bahaya ialah, apabila kita merindui Si Dia, memikirkan-mikirkan tentangnya, keacantinkannya, ketampanannya, sifat penyanyangnya, betapa kecintaannya kepada kita, zina tetap berlaku. Biarpun tidak bersua dari segi pancaindera, hati boleh berzina. Tidak mungkin sesuatu hubungan percintaan itu tidak melibatkan penglihatan, percakapan, pendengaran dan perasaan. Sudah terang lagikan bersuluh, percintaan sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

Batasan Dalam Bergurau Senda

Posted by - 0 comments


Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.

Gurau senda Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda. 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

”Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !”

(Riwayat Abu Daud)

Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:
a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w . 
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya. 
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati. 

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya

May 1, 2010

Buatmu MUJAHID

Posted by - 1 comments


Buatmu mujahid......
Ku biarkan rinduku bermukim,
Tidakku biarkan lagi resahku bermusim,
Ku biarkan ingatanku meruntun,
Tidakku biarkan lagi pengharapanku beralun.

Biarkan rinduku seringkali menggamit,
Ingatanku padamu akan tergaris,
Bila resahku mendesah,
Jawapanmu tidak lagi keluh kesah,
Cinta yang bertandang jua impian yang mendatang,
Keraguanku takkan lagi menjadi penghalang.

Untuk seketika biarku simpan rinduku disudut kalbu,
Untuk sementara biarku pendam cintaku disegenap sukma,
Cintaku satu perasaan yang tidak dapat dipelajari tetapi dialami,
Cintaku ini hanyalah secebis dari erti kehidupan,
 Uniknya cinta kerana ia menjelmakan kasih sayang yang teragung dan suci,
Ku percaya manusia membina sahsiah diri di muka bumi
Bermodalkan kasih sayang dan cinta.

Walau air mataku mengalir tidak henti,
Sederas air sungai tika musim tengkujuh,
Namun ku yakin, perlahan-lahan duka dan sedih itukan berlalu pergi,
Hatiku bak pohon semalu disentuh terus menguncup layu,
 Hatiku jua bagai kaca bila diketuk retaknya ke seluruh sudut,
Hati…..berlagulah hanya dalam sepi,
Tabahlah menanggung beban duka sendiri.


Janji dan azamku….
Kanku perbataskan perbuatanku,
Kanku singkatkan perbualanku,
Kanku sukat gerak dan gayaku,
Kanku pelihara kesucian dan maruah diriku,
Tidakkanku terlalu murah senyumanku dengan mana-mana lelaki ajnabi.

Kernaku tahu juaku mengerti.
Wanita solehah itu dipandang dari peribadinya,
Dilihat dari akhlaknya,
Ditinjau dari lemah-lembutnya,
Ditafsirkan dari susunan kata-katanya,
Kegagahan wanita berdiri di atas teguh imannya,
Dari sini wanita jua diriku diketahui segalanya.

Pandanglah kataku,
Renunglah dengan mata hatimu setulusnya,
Selamilah dasar hatiku berbisiklah pada dirimu,
Ambillah mutiara kata yang baik buat teladan,
Tinggalkan kata-kataku yang menyimpang dari landasan kebenaran.

Seperti katamu yang kusemat dihatiku,
Hati ini milik-Nya,
Cinta ini kerana-Nya,
Hidup ini semestinya untuk-Nya.

Pandangan mata selalu menipu,
Pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu melulu,
dan pandangan hatilah yang hakiki,
Ketika iman sudah menghias hati,
dan kemanisannya mula dikecapi,
Semua ujian tidak akan menggugat diri,
Kesuyian…kesedihan dan kekecewaan akan berganti,
dengan keyakinan dan kesyukuran.

Jika tidakku perhati hikmahnya dengan mata hati,
Jika tidakku zuhud dalam pencarian cintaku,
Jika tidakku teguh mengukir senyum buat pengubat kerunsingan,
Jika tidakku seikhlas jiwa semurni sanubari memohon keampunan-Nya,
Jika tidakku titiskan air mata keinsafan,
Jika tidakku renung dan resapkan keyakinanku pada-Nya,
Jika tidakku pasrah dengan ketentuan-Nya,
Mana mungkin ku dambakan kasih-Nya dalam iman…?
Bagaimana pula bolehku harap redha dari-Nya…

Sahabat...

.......

 

Cahaya Malam Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos