Bersyukur Allah hadirkan rasa kasih syg bersama insan ini... <3 td="td">3> |
Apakah maksud ALLAH tidak memberi dunia sama banyak dan sama rata kepada setiap hamba-Nya? Walhal tentulah setiap hamba itu mendapat kasih sayang ALLAH, kerana setiap yang ALLAH jadikan, ALLAH kasih melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Tapi takdir yang ditentukan ALLAH tetap tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri.
Kasih sayang ALLAH akan dimiliki oleh hamba-hamba-Nya yang dapat tunduk kepada takdir ALLAH. Sama ada dia ditakdirkan untuk jadi orang yang senang atau sebaliknya ditakdirkan mejadi miskin, dia tetap rela dan tidak merungut suatu apa pun. Dia tahu bahawa sesungguhnya ALLAH tidak menzalimi hamba-Nya. Kalaulah takdir yang ditentukan itu baik, maka di sinilah peluangnya untuk menjadi hamba yang bersyukur, yang dapat memanfaatkan kebaikan yang diperolehinya itu bukan untuk dirinya seorang, tapi dapat dirasai sama oleh orang lain.
Kalaulah ditakdirkan kaya, dengan kekayaan itu dia akan dapat membantu orang susah, anak-anak yatim, janda, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan. Sehingga dia menjadi lebih hampir kepada ALLAH dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya.
Sebaliknya orang yang ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik, tetapi dia sanggup bersabar walaupun dalam seribu kepahitan, maka ALLAH akan balas dengan rahmat-Nya. ALLAH akan hiburkan dengan dikurniakan kekayaan hati. Hati yang kaya adalah hati yang sentiasa berbahagia dengan kebaikan. Hati sentiasa merasa ringan menghadapi kesusahan atau kemiskinan. Nasib malang yang menimpa dirinya sedikitpun tidak menyusahkan hatinya. Sebaliknya segala kejadian dan keadaan yang ada itu makin membuat dia terus bergantung hati bertawakkal dan menyerah diri pada ALLAH.
Dia cukup yakin ALLAH itu Maha Bijaksana. Maha Suci ALLAH dari tersilap dalam menentukan takdir dan perjalanan hidup hamba-Nya. ALAH Maha Adil , oleh itu apa sahaja nasib yang menimpa dirinya tentulah hasil daripada sifat adil-Nya. Justeru itu akan membuatkan hatinya makin redha, merendah diri dan semakin hampirlah hatinya dengan ALLAH.
Seorang hamba yang tidak redha dengan takdir atau nasib yang menimpa dirinya, seolah-olah dia tidak yakin pada keadilan dan kebijaksanaan ALLAH. Seolah-olah menganggap ALLAH tidak tahu kehendak hatiya. Walhal kerana Maha Tahunya ALLAH, yang ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, maka ALLAH memutuskan takdir yang sebaik-baiknya untuk hamba-Nya. Walaupun pada pandangan si hamba takdir itu tidak baik, tetapi kalau dia betul-betul berserah diri pada ALLAH dia akan mendapat keuntungan daripada takdir itu.
Sebaliknya kalau seseorang yang direzeki dengan takdir yang baik dalam hidupnya, selalunya membuatkan dia terlalu gembira, bangga dan hingga dia lalai, hingga lupa kepada Yang Memberi. Maka takdir yang dianggap baik itu sebenarnya sudah tidak menguntungkan dirinya. Dia sudah berada jauh dari ALLAH disebabkan kelalaiannya.
Janganlah merasa iri hati atau dengki melihat nasib atau takdir yang baik yang ditentukan ALLAH terhadap orang lain sehingga kita berusaha untuk mendapatkannya. Walhal apa diuntukkan ALLAH kepada seorang hamba-Nya itu pasti tidak sama dan tidak dimiliki oleh hamba-Nya yang lain, yang tidak tersenarai sebagai penerima takdir itu meskipun dia berusaha bermati-matian untuk mencapai dan mendapatkannya.
Apa yang patut dilakukan oleh setiap hamba ialah redha menerima segala ketentuan atau takdir ALLAH sama ada yang dianggap baik atau tidak. Kerana pada hakikatnya setiap yang ditakdirkan dan ditentukan ALLAH itu adalah baik. Cuma yang membezakan baik atau tidak itu ialah hawa nafsu manusia. Mana-mana yang sesuai dengan kehendak nafsu dan hatinya dianggap baik. Sebaliknya yang menyusahkan dan nafsunya merasa tidak seronok, dikatakan tidak baik.
Janganlah kita mengukur ikut hawa nafsu yang tidak lain hanya mengajak kita menjadi engkar dan memusuhi ALLAH. Ikutilah nilaian dan ukuran ALLAH.
Kalau kita dapat menghadapi setiap takdir dengan banyak berserah, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya tentulah setiap takdir itu akan menguntungkan kita. Untungnya kerana ia boleh menghampirkan diri kita dengan ALLAH.
~Halaqah.net