“Sudah berapa lama tuan memeluk Islam?”tanya saya pendek
“Dua puluh tahun,”jawab lelaki berbangsa India itu juga dengan pendek.
“Semua keluarga turut masuk Islam?”
“Semua, tetapi tidaklah berturut-turut. Termasuk ibu-bapa saya,”
jawabnya sambil tersenyum. Wajahnya nampak sangat tenang. Jadi senang
hati melihatnya.
“Yang paling akhir?”
“Ibu dan bapa saya. Baru sebulan yang lalu.”
“Alhamdulillah…”
“Tetapi ibu saya baru sahaja meninggal dunia. Kira-kira dua minggu yang lalu.”
Saya terkejut. Maksudnya, baru sangat. Tentu dia masih dalam kesedihan.
“Masih sedih…” kata saya perlahan sambil mengusap bahunya. Separuh bertanya, separuh simpati.
“Sedih sedikit sahaja. Gembira lebih banyak.”
Wah, jawapan itu sangat aneh. Tentu ada cerita di sebaliknya.
“Mengapa tuan rasa gembira?”
“Panjang ceritanya…”
Saya memberi isyarat yang sangat berminat mendengar. Mungkin kerana
itu dia pun mula bercerita. Lancar dan lurus tanpa tersekat-sekat.
Seolah-olah episod demi episod sudah tersusun kemas dalam minda dan
perasaannya. Menurutnya, dia memeluk Islam hasil dakwah seorang wanita.
Dengan cinta? Tidak. Hanya dengan akhlak seorang wanita ‘berniqab’ yang
bekerja sebagai akauntan di pejabatnya.
“Saya tertarik kepada akhlaknya. Begitu sopan, begitu empati dengan
kawan sekerja dan cekap pula melaksanakan tugas. Tanpa melihat wajahnya
pun, hati saya sudah terpikat. Sungguh. Saya jatuh cinta pada kecantikan
budinya.”
“Bagaimana menyatakannya?”
“Cinta sentiasa ada cara untuk dinyatakan. Melalui seorang kawan rapat saya menyatakan hasrat.”
“Masa tu belum Islam?”
“Belum. Itulah cinta. Buta. Saya akui, cinta kepada wanita itu lebih dulu datang, sebelum cinta kepada Islam. Itulah saya.”
“Subhanallah menarik. Bagaimana reaksinya?”
“Dia menjawab… bakal suami saya hanyalah seorang Muslim.”
“Saya tahu, itu ialah syaratnya. Lantas, saya katakan kepadanya,
masih melalui orang tengah, beri saya masa secukupnya untuk memeluk
Islam. Saya rasional, saya tidak akan ikut-ikutan. Saya perlu berfikir.”
“Dia beri cukup masa untuk berfikir?”
“Ya, bukan hanya untuk berfikir. Tetapi untuk belajar tentang Islam.
Saya sememangnya sudah sekian lama menyimpan hasrat untuk memahami
Islam. Bukan kerana hendak menganutnya, tetapi kerana minat saya yang
mendalam pada ilmu. Bagi saya ilmu-ilmu dalam Islam sangat menarik untuk
diterokai.”
“Jadi Islam hanya dipelajari untuk diketahui, bukan untuk diyakini?” tusuk saya.
“Mula-mula begitulah. Tetapi lama-kelamaan, ilmu-ilmu itu telah
membentuk keyakinan saya. Mula-mula hanya kerana wanita, tetapi akhirnya
jatuh cinta kepada Pencipta wanita.”
“Begitu mudah?”
“Tidak juga. Saya berfikir lama…. Hati saya selalu bertanya apa yang
menyebabkan seorang wanita begitu ‘terbuka’ ketika wajahnya tertutup.
Dia sangat terbuka dalam pemikiran, pergaulan dan pekerjaannya. Mudah
didekati tetapi sangat menjaga diri. Bagi saya tentu ada sesuatu dari
dalam dirinya yang menjadikan dia begitu.”
“Berapa lama?”
“Hampir dua tahun.”
“Dia sabar menunggu?”
“Bukankah saya katakan, dia wanita yang sangat setia dan patuh pada janji?”
“Wah. Itu cinta pertama?”
“Pertama pada dia. Tetapi tidak pada saya. Saya pernah jatuh cinta
kepada wanita lain sebelumnya. Pada dia cinta pertama, pada saya cinta
utama. Dalam banyak-banyak cinta, cinta itulah yang paling suci dan
unik.”
“Perkahwinan meriah?”
“Meriah. Sangat meriah. Sederhana tetapi penuh makna. Ceria.”
Hampir saya terlupa pada cerita ibunya. Supaya tidak terlupa, saya
terus bertanya, “itu cerita isteri, tadi kita bermula dengan cerita
ibu.”
“Cerita ibu dan isteri saya sangat berkaitan.”
Saya minta dia bercerita terus. Saya mahu belajar daripadanya. Saya
lihat di antara mereka yang mengikuti kursus kepimpinan Islam itu dialah
yang paling bersungguh-sungguh dan fokus. Banyak pertanyaan yang
diajukannya. Bagi saya dia seorang istimewa. Tentu sekali isteri atau
ibu atau kedua-duanya sekali istimewa. Bukankah di sebalik seorang
lelaki yang hebat, pasti ada seorang wanita yang hebat?
“Setelah bernikah, saya lebih mendalami agama. Saya dan isteri terus
belajar dan belajar. Ada kalanya cuti tahunan kami dihabiskan untuk
belajar ilmu agama. Kami kemudian mengerjakan umrah dan akhirnya dapat
mengerjakan haji. Anak-anak kami dididik untuk mendalami agama sejak
kecil. Alhamdulillah, dua daripada tiga orang anak kami hafaz Al Quran.”
“Bertuah. InsyaAllah, isteri tuan seorang isteri yang solehah. Boleh
saya dan keluarga ziarah rumah tuan untuk bertemu dan berkongsi
pengalaman dengannya?”
“Tidak boleh. Maaf, tidak boleh.”
Saya sangat terkejut. Ditolak mentah begitu sahaja? Lantas bertanya, “mengapa?”
“Kerana dia telah meninggal dunia dua tahun lalu. Sakit barah. Barah
rahim. Sewaktu barah dikesan sudah tahap yang kritikal. Tidak dapat
diubat lagi. Sebulan meninggal…”
Terkejut. Daripada rasa terkilan tadi, bertukar tiba-tiba kepada rasa
sedih yang mendalam. Betul, jangan cepat buruk sangka, detik saya dalam
hati. Sekarang saya seperti dapat merasakan sendiri rasa kehilangannya
srikandi cintanya itu. Betapa hebatnya rasa kehilangan seorang isteri
yang telah memberi cahaya mata dan cahaya hati.
Dia mengesat matanya yang mula berair. Sungguh, saya turut
merasainya. Isteri ialah jantung hati kita. Dia pergi… separuh diri kita
juga seolah-olah hilang. Cinta kepada isteri ialah cinta kerana Allah
yang sangat besar impaknya dalam kehidupan. Hamka, seorang penulis yang
tersohor pernah meluahkan isi hatinya ketika ditinggal mati oleh
isterinya. Ketika ditanya oleh anaknya (irfan), beliau meluahkan :
“Kau tahu, Irfan. Ayah dan Ummi telah berpuluh-puluh tahun lamanya
hidup bersama. Tidak mudah bagi Ayah melupakan kebaikan Ummi. Itulah
sebabnya bila datang ingatan Ayah terhadap Ummi, Ayah mengenangnya
dengan bersenandung. Namun, bila ingatan Ayah kepada Ummi itu muncul
begitu kuat, Ayah lalu segera mengambil air wudhu’. Ayah solat Taubat
dua rakaat. Kemudian Ayah mengaji. Ayah berupaya mengalihkannya dan
memusatkan fikiran dan kecintaan Ayah semata-mata kepada Allah,” jawab
Ayah
“Tetapi satu kematian yang indah…” tiba-tiba dia bersuara, memutuskan ingatan saya pada Allahyarham Pak Hamka.
“Kematian yang indah? Bagaimana dia meninggal dunia?”
“Saya masih ingat menjelang waktu Asar pada hari itu dia sangat
tenat. Saya duduk menemani di sebelahnya. Dia merayu untuk solat
berjemaah bersama. Selalunya saya solat berjemaah di masjid tetapi kali
ini dia benar-benar tenat. Lalu saya baringkan dia di sebelah kiri di
bahagian belakang saya. Dia begitu lemah. Matanya hampir terpejam. Habis
solat sahaja, dia mengucap kalimah syahadah sebanyak tiga kali… lalu
terus menghembus nafas yang terakhir.”
“Begitu mudah?”
“Begitulah tuan, macam sebuah drama. Sukar untuk mempercayainya jika
sekadar mendengar cerita tetapi saya menyaksikannya. Itulah kematian
yang indah.”
“Al Fatihah,” ujar saya. Kami sama-sama membaca surah al fatihah dan
berdoa semoga rohnya diampuni dan dikasihani Allah. Seseorang akan mati
mengikut cara hidupnya. Jika cara hidupnya baik, maka dia akan menemui
kematian dengan sebaik-baiknya. Wanita itu telah mengislamkan suaminya,
melahirkan anak-anak yang baik, bisik hati saya.
“Ustaz, sebenarnya bukan saya sahaja yang tertarik kepada Islam atas
sebab dia tetapi juga adik-beradik saya. Seorang demi seorang
adik-beradik saya memeluk Islam apabila mula dan lama bergaul
dengannya.”
“Wah, mudahnya…”
“Tetapi ada juga yang susah. Ibu dan ayah saya sangat susah untuk
menerima Islam. Mereka sangat keras hati. Kata-kata lembut dan akhlak
isteri saya pun tidak cukup kuat untuk mencairkan kekufurannya. Namun,
ajaibnya… masih isteri saya juga menjadi sebab keislaman ibu-bapa saya.”
“Macam mana tu?” tanya saya tidak sabar. Inilah persoalan awal dalam
perbualan kami tadi. Daripada soal ibu-bapanya teralih pula kepada soal
isterinya. Benar katanya tadi, soal ibu dan isteri sangat rapat dan
Saling berkait.
“Kami cuba pelbagai cara untuk mengislamkannya, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, isteri saya menyarankan satu cara…”
Saya benar-benar ‘suspen’. Menanti dengan penuh minat.
“Sayangnya, isteri saya pergi dulu sebelum sempat melihat hasil
dakwahnya kepada ibu saya,” katanya tanpa memberi jawapan yang saya
tunggu.
“Maksud tuan, isteri tuan meninggal dunia dahulu kemudian baru ibu tuan memeluk Islam?”
“Ya,”jawabnya pendek.
“Apa kaedah yang disarankan oleh isteri tuan itu?” tanya saya,
mengulang pertanyaan yang sangat saya dambakan jawapannya sejak tadi.
“Begini, arwah isteri saya menyatakan bahawa doa anak kepada
ibu-bapanya sangat mustajab. Bukan sahaja setelah ibu-bapanya meninggal
dunia, bahkan semasa ibu-bapanya itu masih hidup lagi. Satu hari, dia
sarankan saya berdoa setiap kali selepas solat dan setiap kali membaca
Al Quran. Pohon kepada Allah agar diberi hidayah kepada ibu-bapa saya.”
Terpegun mendengar saranan itu, saya berfikir. Nasihat ini seperti
serampang yang punya dua mata. Pertama, untuk yang berdoa agar sentiasa
solat dan membaca Al Quran. Kedua, untuk yang didoakan agar mendapat
hidayah Islam. Bijak sungguh arwah isteri beliau.
“Jadi tuan ikut saranan itu?”
“Ya. Saya ikut.”
“Berapa lama?”
“ Hampir 10 tahun. Selama itulah setiap kali selepas solat dan
membaca Al Quran saya doakan ibu-bapa saya. Yakni, sejak hari
Allahyarham isteri mencadangkannya pada saya… saya amalkan. Dia
meninggal dua tahun yang lalu, ibu pula baru dua minggu yang lepas.
Ertinya, dia sendiri tidak dapat melihat hasil kejayaan dakwahnya.”
“Dia akan melihatnya. Bahkan dia akan melihat lebih jelas daripada
kita nanti. InsyaAllah. Mudah-mudahan dia dan ibu tuan ditempatkan di
kalangan roh orang yang beriman. Sama-sama akan ke syurga nanti…”
Sungguh peristiwa itu sangat menyentuh jiwa. Dakwah yang berkesan itu
dengan akhlak yang baik, kata-kata yang penuh hikmah dan doa yang
istiqamah. Tanpa wajah dilihat, tetapi diri sudah mampu memikat. Itulah
mesej di sebalik ‘sayonara’ seorang isteri yang berniqab…
Perkongsian dari blog : http://genta-rasa.com (Ustaz Pahrol Mohamad Juoi)