Suka saya kali ini untuk melontarkan perbincangan kepada anda
tentang isu-isu yang berkaitan dengan wanita. Bergetar juga hati dan keyboard
menaip bab fiqh wanita. Apapun, ini sekadar lontaran perbincangan hasil
cadangan seorang sahabat muslimat di Facebook. Barangkali ia kebimbangan pada dirinya. Cadangannya berkenaan dengan trend masa
kini,
“Purdah” yang lebih sinonim dengan muslimah. Kebimbangan itu
turut ditempiaskan kepada saya sehingga membuatkan hati terasa
ditarik-tarik
untuk merujuk tentangnya. Setelah menyelak beberapa pandangan ulama’
berkaitan purdah, sepertinya saya terfikir satu dua perkara yang boleh
diterbitkan dalam bab ini. Mungkin saja lintasan inilah yang menjadi
kebimbangan kepada si
pencadang. Sebelum kita panjangkan, mari kita fahami takrifan dan hukum
purdah secara
umumnya. Memahami pengertian purdah, di dalam Bahasa Arab ia disebut
sebagai
niqab. Manakala menurut Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, purdah bermaksud kain yang bertindak sebagai penutup muka perempuan. Secara lazimnya, kain tersebut
digunakan menutup sebahagian besar kawasan muka sesesorang perempuan itu
melainkan matanya sahaja.
Berkenanaan dengan hukum berpurdah, terdapat perbezaan
pandangan ulama’ mengenainya. Ianya berdasarkan ayat al-quran didalam surah
an-nur ayat ke 31 yang bermaksud
“Dan katakanlah kepada
perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan
perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka
menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa
mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri
mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari
orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau
kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah
mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari
perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai
orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Berdasarkan dalil diatas, sebilangan ulama berpendapat muka dan
kedua-dua tangan adalah aurat iaitu dengan maksud mudahnya setiap perempuan
Islam mesti memakai purdah. Sebilangan ulama lagi berpendapat muka dan
kedua-dua tangan bukan dikategorikan sebagai aurat dan memakai purdah bukanlah
suatu yang wajib. Maka jumhur ulama’ telah menyatakan bahawa Tidak wajib
purdah dan mengharuskan pendedahan muka dan kedua-dua tangan di hadapan lelaki
asing yang bukan mahram sekiranya aman dari fitnah. Jika para muslimah
hendak mengenakannya, tiada masalah.
Disebutkan
dalam satu kaedah usul fiqh iaitu Al umur bi maqasidiha , yang
membawa maksud sesuatu pekerjaan akan dinilai atau dihukum berdasarkan niat
pekerjaan tersebut. Berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW. :
” Setiap amalan bermula dengan niat, dan bagi
setiap orang itu adalah apa yang dia niatkan..”(HR
Bukhari)
Oleh
itu, pemakaian purdah secara asasya juga
sebenarnya berlegar dalam 5 hukum utama syariat iaitu wajib, haram , sunat , makruh dan harus. Bolehkah
kita sewenang-wenang mengatakan seorang yang memakai purdah itu haram? Tentu
sekali tidak boleh. Demikian juga tidak wajar untuk kita menghukum bahawa semua muslimah wajib
berpurdah .Melainkan, kesemua perbuatan termasuk berpurdah akan dinilai atas
niat pemakai tersebut. Berpurdah boleh saja menjadi haram. Ketika mana si pemakai memakai purdah dengan
niat untuk berbangga-bangga, ujub,riak dan sebagainya. Haram sama sekali. Bukan
hanya purdah, berjubah atau berserban juga jatuh hukum haram andai dikembarkan
dengan niat sedemikian.
Berdasarkan perbentangan hukum berpurdah ini, saya yakin ramai
yang faham bahawa tujuan dan fungsi purdah adalah sebagai alat untuk
mengelakkan muslimah itu dari terdedah kepada fitnah. Namun adakah kesedaran
ini wujud dalam setiap jiwa “niqabis” zaman sekarang?. Tidak adillah jika saya katakan
semua yang berpurdah itu tidak ada kesedaran. Tetapi hakikatnya ada yang sedemikian. Lihat saja di Facebook. Sepertinya
kamera dan tabarruj itu menjadi kemestian kepada sebahagian darinya. Bulu mata
dilentikkan, mata dikenakan lens yang bewarna, eye shadow yang menyeramkan. Apakah
itu sebahagian resepinya? Pada pandangan saya, tidak salah anda berpurdah. Malah
patut dipuji. Akan tetapi kepada sebahagian yang berkenaan, dimanakah anda
meletakkan fungsi dan tujuan purdah itu sendiri?. Seperti yang saya katakan,
purdah bertindak sebagai alat yang menutup fitnah pada diri anda. Tetapi anda (yang
berkenaan) sepertinya mempromosi fitnah itu sendiri. Maka itulah saya sifatkan
sebagai “purdah yang mendedah.” Pantang jumpa tasik, mulalah sesi fotografi
tanpa fotografernya. Selfie kata mereka. Maklum saja bila mata yang mahu
difokuskan.
Membimbangkan
lagi apabila ramai pereka fesyen yang mengambil
kesempatan dengan menggunakan frasa “fesyen islamik”. Rekaannya seolah
islamik pada mereka namun jelas ia tidak bertepatan dengan syara’.
Bejubah, tetapi
sendat sehingga tubuh padat. Berniqab, malangnya tabarruj lebat. Awas,
takut-takut anda menjadi duri dalam danging pada agama sendiri. Allah
memerintahkan hambanya menutup aurat seperti yang disebutkan didalam
surah
an-nur ayat 31, al-ahzab ayat 59. Dan banyak lagi dalil-dalil yang lain.
Perlu difahami
oleh muslimah, pakaian yang menutup aurat ialah pakaian yang menutupi
semua
tubuh kecuali muka dan tapak tangan dan haruslah longgar dan tidak
menampakkan
kulit manakala tudung haruslah melepasi dada.
Saya terlalu kagum bagi sesiapa yang berpurdah dengan sempurna
dan memahami tujuannya. Bukan mudah untuk mengenakannya. Ianya perlukan
mujahadah, istiqamah dan komitmen yang tinggi. Akan tetapi rugilah mereka yang
berpurdah tetapi tidak mengerti objektifnya. Saya fikir kecacatan dalam
berpurdah itu berlaku apabila ia diaduni dengan fesyen dan trend terkini. Purdah
asalnya mulia, maka jangan kita jadikan ia tidak kena pada tempatnya.
Sebahagian
besar daripada tuntutan atau undang-undang tentang perkara tersebut telah termaktub
di dalam Al-Quran pada surah An Nur. Begitu juga dalam hadis-hadis Nabi SAW
yang sahih. Justeru jelas kepada kita, bahawa pokok persoalan utama adalah apakah segala tuntutan tersebut
telah dikuatkuasakan atau tidak? Itu yang utama. Jika belum, maka usaha yang
bersungguh-sungguh perlu dilakukan
supaya segala peraturan tersebut dapat terlaksana, samada pada diri sendiri
atau masyarakat. Maka mereka yang berada dalam kerangka fardhu ain perlu
memainkan peranan mereka dengan penuh amanah dan komitmen yang tinggi manakala
mereka yang berada dalam kerangka fardhu kifayah pula perlu terus beriltizam
dalam setiap usaha dakwah mereka. Secara perbincangannya, purdah bukanlah
sesuatu yang hukumnya wajib qatie. Tidak ditemukan satu dalil pun yang sahih
lagi disepakati oleh jumhur ulama’ yang mengatakan bahawa berpurdah itu wajib.. Melainkan hanya sebahagian atau minoriti fuqaha’ sahaja yang berpendapat sedemikian.
Wanita itu sendiri dicipta dengan segala kecantikan dan
keindahan seperti yang telah disebutkan oleh baginda nabi SAW iaitu sebagai
hiasan dunia. tapi baginda memberi syarat iaitu haruslah wanita yang menurut
perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Ramai muslimah akhir-akhir ini
begitu berminat dengan purdah. Ia satu fenomena yang baik sebagai salah satu
usaha untuk mengurangkan fitnah pada dirinya. Tidaklah salah jika anda ingin
bergambar atau meletakkannya sebagai gambar profil di Facebook. Jika ada yang
kata salah, maka bila keluar saja di umum, haruslah ditutup seluruh wajahnya. Ada
pula yang kata takut-takut jadi fitnah kepada yang kaum adam. Pada saya yang
salah pada yang melihat. Jika rasa fitnah, tak usahlah ditatapnya. Itu gurauan
sahaja. n_n.
Sebagai akhirnya, lakukan amalan dengan ilmu. Sesungguhnya syaitan
lebih gerun pada ‘alim (orang yang berilmu) daripada ‘abid (ahli ibadah). Sesungguhnya
Allah menetapkkan sesuatu itu pasti punya keindahan disebaliknya. Kata Allah di
dalam al-quran maksudnya :
“Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu
pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan” (Al-A’raf
: 26)
Maka marilah kita sama-sama memperbaiki diri meningkatkan
keimanan sebagai bekalan menghadapi hari akhirat kelak. Purdah itu indah, jangan sampai ia terdedah.
Artikel oleh: Muhammad Izzaidi
http://jiwabuku.blogspot.com
1 comments:
assalamualaikum ukhti :)
semoga sentiasa berada dalam perlindungan Allah.
bagus ukhti share artikle ini.
saya tak jumpa blog Muhammad Izzaidi,
tapi dapat baca isinya disini.
itulah berkat sharing is caring ;)
walaupun saya sndiri sudah hampir 5 tahun berpurdah,
sy tetap membaca penulisan ini sehingga habis.
refresh ilmu dan perbaharui niat kata orang ^_^
terima kasih atas perkongsian ini.
inshaALLAH lpg nt sy dtg jenguk lg :)
Post a Comment
syukran jazilan.. =) komen anda amat dihargai