November 22, 2014

Purdah yang mendedah

Posted by - 1 comments
Suka saya kali ini untuk melontarkan perbincangan kepada anda tentang isu-isu yang berkaitan dengan wanita. Bergetar juga hati dan keyboard menaip bab fiqh wanita. Apapun, ini sekadar lontaran perbincangan hasil cadangan seorang sahabat muslimat di Facebook. Barangkali ia kebimbangan pada dirinya. Cadangannya berkenaan dengan trend masa kini, “Purdah” yang lebih sinonim dengan muslimah. Kebimbangan itu turut ditempiaskan kepada saya sehingga membuatkan hati terasa ditarik-tarik untuk merujuk tentangnya. Setelah menyelak beberapa pandangan ulama’ berkaitan purdah, sepertinya saya terfikir satu dua perkara yang boleh diterbitkan dalam bab ini. Mungkin saja lintasan inilah yang menjadi kebimbangan kepada si pencadang. Sebelum kita panjangkan, mari kita fahami takrifan dan hukum purdah secara umumnya. Memahami pengertian purdah, di dalam Bahasa Arab ia disebut sebagai niqab. Manakala menurut Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, purdah bermaksud kain yang bertindak sebagai penutup muka perempuan. Secara lazimnya, kain tersebut digunakan menutup sebahagian besar kawasan muka sesesorang perempuan itu melainkan matanya sahaja.


Berkenanaan dengan hukum berpurdah, terdapat perbezaan pandangan ulama’ mengenainya. Ianya berdasarkan ayat al-quran didalam surah an-nur ayat ke 31 yang bermaksud


“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.



Berdasarkan dalil diatas, sebilangan ulama berpendapat muka dan kedua-dua tangan adalah aurat iaitu dengan maksud mudahnya setiap perempuan Islam mesti memakai purdah. Sebilangan ulama lagi berpendapat muka dan kedua-dua tangan bukan dikategorikan sebagai aurat dan memakai purdah bukanlah suatu yang wajib. Maka jumhur ulama’ telah menyatakan bahawa Tidak wajib purdah dan mengharuskan pendedahan muka dan kedua-dua tangan di hadapan lelaki asing yang bukan mahram sekiranya aman dari fitnah. Jika para muslimah hendak mengenakannya, tiada masalah.

Disebutkan dalam satu kaedah usul fiqh iaitu Al umur bi maqasidiha , yang membawa maksud sesuatu pekerjaan akan dinilai atau dihukum berdasarkan niat pekerjaan tersebut. Berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW. :

” Setiap amalan bermula dengan niat, dan bagi setiap orang itu adalah apa yang dia niatkan..”(HR Bukhari)


Oleh itu, pemakaian purdah  secara asasya juga sebenarnya berlegar dalam 5 hukum utama syariat iaitu  wajib, haram , sunat , makruh dan harus. Bolehkah kita sewenang-wenang mengatakan seorang yang memakai purdah itu haram? Tentu sekali tidak boleh. Demikian juga tidak wajar untuk kita  menghukum bahawa semua muslimah wajib berpurdah .Melainkan, kesemua perbuatan termasuk berpurdah akan dinilai atas niat pemakai tersebut. Berpurdah boleh saja menjadi haram.  Ketika mana si pemakai memakai purdah dengan niat untuk berbangga-bangga, ujub,riak dan sebagainya. Haram sama sekali. Bukan hanya purdah, berjubah atau berserban juga jatuh hukum haram andai dikembarkan dengan niat sedemikian.

Berdasarkan perbentangan hukum berpurdah ini, saya yakin ramai yang faham bahawa tujuan dan fungsi purdah  adalah sebagai alat untuk mengelakkan muslimah itu dari terdedah kepada fitnah. Namun adakah kesedaran ini wujud dalam setiap jiwa “niqabis” zaman sekarang?. Tidak adillah jika saya katakan semua yang berpurdah itu tidak ada kesedaran. Tetapi hakikatnya  ada yang sedemikian. Lihat saja di Facebook. Sepertinya kamera dan tabarruj itu menjadi kemestian kepada sebahagian darinya. Bulu mata dilentikkan, mata dikenakan lens yang bewarna, eye shadow yang menyeramkan. Apakah itu sebahagian resepinya? Pada pandangan saya, tidak salah anda berpurdah. Malah patut dipuji. Akan tetapi kepada sebahagian yang berkenaan, dimanakah anda meletakkan fungsi dan tujuan purdah itu sendiri?. Seperti yang saya katakan, purdah bertindak sebagai alat yang menutup fitnah pada diri anda. Tetapi anda (yang berkenaan) sepertinya mempromosi fitnah itu sendiri. Maka itulah saya sifatkan sebagai “purdah yang mendedah.” Pantang jumpa tasik, mulalah sesi fotografi tanpa fotografernya. Selfie kata mereka. Maklum saja bila mata yang mahu difokuskan.

Membimbangkan lagi apabila ramai pereka fesyen yang mengambil kesempatan dengan menggunakan frasa “fesyen islamik”. Rekaannya seolah islamik pada mereka namun jelas ia tidak bertepatan dengan syara’. Bejubah, tetapi sendat sehingga tubuh padat. Berniqab, malangnya tabarruj lebat. Awas, takut-takut anda menjadi duri dalam danging pada agama sendiri. Allah memerintahkan hambanya menutup aurat seperti yang disebutkan didalam surah an-nur ayat 31, al-ahzab ayat 59. Dan banyak lagi dalil-dalil yang lain. Perlu difahami oleh muslimah, pakaian yang menutup aurat ialah pakaian yang menutupi semua tubuh kecuali muka dan tapak tangan dan haruslah longgar dan tidak menampakkan kulit manakala tudung haruslah melepasi dada.

Saya terlalu kagum bagi sesiapa yang berpurdah dengan sempurna dan memahami tujuannya. Bukan mudah untuk mengenakannya. Ianya perlukan mujahadah, istiqamah dan komitmen yang tinggi. Akan tetapi rugilah mereka yang berpurdah tetapi tidak mengerti objektifnya. Saya fikir kecacatan dalam berpurdah itu berlaku apabila ia diaduni dengan fesyen dan trend terkini. Purdah asalnya mulia, maka jangan kita jadikan ia tidak kena pada tempatnya.


Sebahagian besar daripada tuntutan atau undang-undang tentang perkara tersebut telah termaktub di dalam Al-Quran pada surah An Nur. Begitu juga dalam hadis-hadis Nabi SAW yang sahih. Justeru jelas kepada kita, bahawa pokok persoalan utama adalah apakah segala tuntutan tersebut telah dikuatkuasakan atau tidak? Itu yang utama. Jika belum, maka usaha yang bersungguh-sungguh  perlu dilakukan supaya segala peraturan tersebut dapat terlaksana, samada pada diri sendiri atau masyarakat. Maka mereka yang berada dalam kerangka fardhu ain perlu memainkan peranan mereka dengan penuh amanah dan komitmen yang tinggi manakala mereka yang berada dalam kerangka fardhu kifayah pula perlu terus beriltizam dalam setiap usaha dakwah mereka. Secara perbincangannya, purdah bukanlah sesuatu yang hukumnya wajib qatie. Tidak ditemukan satu dalil pun yang sahih lagi disepakati oleh jumhur ulama’  yang mengatakan bahawa berpurdah itu wajib.. Melainkan hanya sebahagian atau minoriti fuqaha’ sahaja yang berpendapat sedemikian.

Wanita itu sendiri dicipta dengan segala kecantikan dan keindahan seperti yang telah disebutkan oleh baginda nabi SAW iaitu sebagai hiasan dunia. tapi baginda memberi syarat iaitu haruslah wanita yang menurut perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Ramai muslimah akhir-akhir ini begitu berminat dengan purdah. Ia satu fenomena yang baik sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan fitnah pada dirinya. Tidaklah salah jika anda ingin bergambar atau meletakkannya sebagai gambar profil di Facebook. Jika ada yang kata salah, maka bila keluar saja di umum, haruslah ditutup seluruh wajahnya. Ada pula yang kata takut-takut jadi fitnah kepada yang kaum adam. Pada saya yang salah pada yang melihat. Jika rasa fitnah, tak usahlah ditatapnya. Itu gurauan sahaja. n_n.

Sebagai akhirnya, lakukan amalan dengan ilmu. Sesungguhnya syaitan lebih gerun pada ‘alim (orang yang berilmu) daripada ‘abid (ahli ibadah).   Sesungguhnya Allah menetapkkan sesuatu itu pasti punya keindahan disebaliknya. Kata Allah di dalam al-quran maksudnya :

“Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan” (Al-A’raf : 26)

Maka marilah kita sama-sama memperbaiki diri meningkatkan keimanan sebagai bekalan menghadapi hari akhirat kelak. Purdah itu indah, jangan sampai ia terdedah.

Artikel oleh: Muhammad Izzaidi
http://jiwabuku.blogspot.com

November 20, 2014

Hilangnya fungsi Purdah

Posted by - 1 comments
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

Niqab/purdah...

Bukan lagi niqab, Bukan lagi purdah apabila sudah hilang fungsinya... Apabila hilang fungsinya, jadilah ia cuma sekadar kain yang disarung diwajah, tak lebih dari itu.. Cuma kain.. 



Secara kefahamam umum, purdah berfungsi menutup/mengelakkan seseorang melihat wajah pemakainya. Dalam sudut agama islam, purdah bukanlah perkara wajib, dalam Mazhab Syafi'e sendiri pun mengharuskan untuk didedahkan bahagian muka dan pergelangan tangan.

Purdah dipakai kerana hikmahnya bagi yang mengetahui, ibadat yg tujuannya bg meluruskan niat dan sebagai batu loncatan untuk menjadi lebih dekat dgn Allah..
Niqab menyelamatkan diri wanita dari kejahatan-kejahatan lelaki yang memandangnya, serta dapat menghindarkan rasa ujub, mendidik rasa rendah diri yang mungkin akan membinasakan agamanya seperti pujian serta kutukan daripada orang yang tidak mengetahui.


Bagaimana purdah yang dipakai seiring/menepati dengan fungsinya?

Perumpamaan seperti saat mahu memandu kereta, seseorang harus tahu cara memandu. Lihat/tiru org lain pandu, hidupkan enjin, tekan pedal dan gerak, pasti akan mengundang kecelakaan..
Bukan saja belajar sampai pandai memandu, tapi mesti lulus JPJ dan memiliki lesen. Lesen pula mesti selalu perbaharui. Sudah ada lesen pula mesti ikut undang2 jalan raya..

Begitulah juga bila mahu memakai niqab, dimulai dgn tiru, terus pakai tanpa ilmu yg betul pastinya bisa mengundang kecelakaan seperti timbul syahwat. dan fitnah. Bukan pula mengisi diri dgn ilmu saja, yg lebih utama niat mesti lurus. Bukan saja menjaga dan memperbaharui niat saja tetapi berusaha mematuhi undang2 Allah SWT...

Memakai Niqab/Purdah dgn ilmu yang betul dan niat lurus pula tidak akan sempurna tanpa rasa 'Malu'. Dari sifat malu itulah yg menjadikan seseorang itu berjaga-jaga dalam segala hal. Bukan malu-malu kucing, tapi malu dan rendah diri yang lahir kerana taqwa dan takut pada Allah.


Purdah dan Kecantikan

Harus tahu, memakai niqab bukanlah memadam erti 'cantik' atau tidak boleh cantik2, tapi definisi cantiknya bukanlah semata-mata pada perhiasan dan apa yang ditonton di depan mata.
Tapi pada kecantikan adab dan akhlak yg menjadikan dia sendirinya cantik. Bukanlah kerana NUR pakaian, perhiasan mahupun make up yang menyerikan wanita itu, tetapi NUR dari Allah kepada orang yang melakukan ibadat dengan ikhlas kerana Nya semata-mata...

Memakai purdah atau tidak, Itulah cantik seorang muslimah sebenarnya. Yang adab dan akhlak sebagai perhiasannya, malu dan rendah diri kerana taqwa yang melindunginya, dan kesederhanaan menjadi pakaiannya...
Itulah yg menjadikan dia cantik yang terhormat, bukan cantik yang sekadar tontonan.


Pakai serba hitam pun orang akan pandang...!

Kita akui, Memakai purdah memang biasanya mengundang pandangan orang, namun memadai dia dilihat kerana dia menutup wajahnya yakni kerana pemakaiannya yg bukan sinonim dalam budaya di Malaysia, bukan dilihat kerana perhiasanya yang menarik orang utk melihatnya.

Umpama patung Mannequin yang digunakan untuk memperagakan sesuatu pakaian, yang satu sekadar dipakaikan pakaian wanita, sederhana. Yang satu lain pula dipakaikan pakaian dengan perhiasan pelbagai, wajah mannequin pula dilukis2 (solek2) hingga menyerupai manusia (hilang keasliannya).
Patung Mannequin yang pertama pasti akan dilihat dan tidak menarik utk dipandang orang. Tapi yang jelas patung kedua lebih tertarik utk orang lihat2 kepadanya, mungkin saja ada yang datang menyentuh2 nya. Yang lelaki pun boleh dua kali pandang/tergoda dgn muka patung td menyerupai wajah wanita jelita dilukis.

Jika dilihat konsep purdah dan perumpamaan tersebut, pasti tidak masuk dengan Patung Mannequin kedua tadi. Konsep kehormatan dan perlindungan tidak ada padanya, kerana perhiasan dan solekan berlebihan tadi menjadikan dia menarik dan mahu dilihat dan didekati. Berbeza dgn Patung Mannequin yg pertama, pasti akan ada orang melihatnya tapi bukan kerana tarikan yang menarik padanya, tapi kerana dia patung dan dia ada dihadapan mata.

Disitulah hilang unsur maksud pemakaian kain yakni purdah sebenar boleh hilang dan hanya menjadi sekadar kain yang dipakai diwajah tp tidak lagi melindungi dan menghalang tarikan nafsu padanya.
Pakaian tidak semestinya menzahirkan apa di dalam hati , tapi kita akui dalam soal hati. Hati yang negatif akan berkata, melihat yang negatif. Seperti hati yg bermasalah akan suka menimbulkan masalah, atau hati yang sakit akan suka menyakiti..
Seperti jg hati yang dipandu iman menzahirkan adab dan akhlak yang mulia, Tidak ada bezanya dengan rasa malu dan rendah diri dari hati, akan menzahirkan pakaian yang sopan dan sederhana.



 Fahamilah...

Buat masyarakat yang dikasihi Allah,

Fahamilah, Wanita memakai purdah ini tidak menjadikan dia bidadari, tidak berbeza dari wanita lainnya, dia tetap sama dengan yang lainnya, masih melakukan kesilapan dan tetap perlukan bimbingan. Bezanya Cuma dia menyarung lebih meter kain ditubuhnya.

Apabila seseorang wanita memilih untuk memakai purdah, bukanlah bermakna dia wanita yang solehah, mulia mahupun jauh dari dosa. Namun purdah dipakai untuk mendidik dirinya ke arah lebih baik lagi.
Purdah hanya secebis kain, sebahagian dari pakaian wanita. Lihatlah seseorang wanita dari apa adanya, akhlak dan kesopananya sebagai hamba Allah, bukan disimpulkan dari penampilannya saja.

Setiap wanita berpurdah pula adalah satu-satu individu yang membawa diri masing-masing. Yang A tidak sama dengan B, begitulah hingga Z sekalipun. Masing-masing memiliki kehendak dan tahap pemahaman yang berbeza, kerana itulah zahirnya/penampilannya tidak sama. Jangan sesekali disamakan semuanya.

Purdah memang sinonim dgn budaya arab, tapi ingat orang arab Jahiliyyah juga gunakan purdah, tapi sebagai hiasan menjadikannya misteri dgn tujuan nampak lebih seksi dan menggoda. Ditambah dengan solekan tebal, perhiasan yang berkilauan, berbunyi-bunyian dan lentok tarian yang menggiurkan. Still, dia seseorang yang memakai purdah bukan...?

 Buat wanita berpurdah yang disayangi Allah,

Ayuh pakailah purdah dengan mencontohi wanita mukminah islam yang sebenarnya, bukan hanya ikut-ikutan budaya wanita arab. Kenali purdah dalam Islam dan purdah jahiliyyah. Purdah Islam mematuhi konsep diatas, secara mudah yakni Melindungi, menjaga, menutup dgn tujuan asal tidak mahu orang tertarik melihatnya.
Bukan Purdah Jahiliyyah yang cantikknya sekadar solekan, perhiasan dengan tujuan menggoda dan menarik perhatian.

Saat seorang wanita itu berpurdah, ketahuilah dia bukan saja menjaga dirinya, tapi menjaga mata ajnabi yang melihatnya, agar tidak timbul syahwat dan menundukkan pandangan mereka.
Itulah antara hikmah purdah salah satunya bagi orang yang mengetahuinya...
InShaaAllah Allah akan menjaga seseorang itu dari fitnah-fitnah mata jahat andai purdah dipakai dengan niat yang betul. Jika tidak, jadilah ia sekadar kain menutup muka, tidak lebih dari itu...


Kita Hamba, kita layak ditegur, kita layak diuji...

Kadang-kadang, datang teguran dari mulut2 manusia tentang kesilapan dalam berpurdah. Bukankan itu berlaku dengan izin Allah.? Allah tidak pernah menganiaya makhluk, namun menyediakan hikmah indah dalam semua hal.

Allan izinkan mulut-mulut orang menyakiti kita, bukan untuk melukai dan menghinakan kita, tapi untuk muhasabah melihat apa sebenarnya yang tidak betul pada diri.
Ujian datang untuk mengingatkan...

Tuhan melontar kita dengan batu-batu kecil (ujian), tetapi sekiranya kita masih alpa, Tuhan mula melontar kita dengan batu-batu besar.
Jangan sampai dilontar dengan batu bata... untuk tersedar dari alpa.
Dengarlah bisikan, jika tidak kita terpaksa mendengar jeritan! ~ Ustaz Pahrol.

Berpurdah memang memerlukan benteng diri yang kuat, tapi bukan benteng ‘keras hati’ utk tidak peduli teguran. Seperti yang disebutkan di atas, purdah bukan bermakna sudah ‘sempurna’, tetapi belajar dan membantu untuk lebih dekat dengan Allah.
Bagaimana mahu dekat dgn Allah, kalau hati dihijabkan terlebih dahulu dengan benteng nafsu yakni (sombong dan ego). Itulah datang ujian seumpama teguran dan fitnah seketika untuk mengingatkan.


 Muhasabah...

Wahai wanita yang dicintai Allah dan Rasul-Nya, ingalah apa yang kita pakai ini membawa bersama maruah Islam. Pasanglah benteng keimanan untuk kental, agar bepasak lebih kuat dengan ilmu dan niat yang betul.
Dibajai dengan adab dan akhlak yang sopan,
dihiasi dengan malu kerana taqwa pada Allah. Barulah purdah yang dipakai benar-benar bermakna.

Bukan bermakna berpurdah mesti meninggalkan hiasan dan kecantikkan,
"Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan." (Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi)

Kita digalakkan untuk menghias diri tapi biarlah tidak menghilangkan fungsi purdah itu. Berhiaslah, memadai secara kemas, bersih, cantik dan sederhana.

Berpurdah atau tidak, asalah namanya insan beragama islam, berpakaianlah sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam dengan penuh rasa ketaqwaan sepertimana firman Allah swt :

"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.Dan pakaian TAQWA itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat"
( Al-A'raf : 26)

..................................
Pakaian, yang dipakai bagi membantu manusia menutup auratnya, menuai pahala dengannya. Namun boleh membakar (azab) si pemakainya, jika salah cara dan tujuannya..
Untuk tenangkan fikiran, hayati dua perkataan ini... SEMENTARA dan SEDERHANA...

 ( Saat ini, Allah mengizinkanmu membaca tulisan ini, lihatlah dengan iman, bukalah hati melihat yg positif bagi memahami isinya. Ambillah apa yang baik darinya, yang buruk jadikan tauladan. Semuanya dengan izin Allah, ambillah hikmahnya... :')
Allah lebih tahu...

~ Dari hamba Allah yang jahil dan berdosa, Laila)

Kecantikan Sebenar

Posted by - 0 comments

Kecantikan sebenar dan kehebatan dari seorang wanita adalah sifatnya apabila ingin dijadikan sebagai isteri dari seorang laki-laki dan ibu kepada anak-anaknya.

Kecantikan yang sebenarnya, bermula dari dari hati yang baik,
bukan solekan yang hilang dengan tisu basah, dan bukan pakaian yang tidak menutup aurat yang boleh dibeli oleh sesiapa pun yang mempunyai duit..

Kecantikan yang sebenar ialah di sisi pandangan Allah.
Kecantikan yang berasal dari Allah tidak boleh dibeli dengan apa pun walaupun seisi dunia ini.

Walaupun satu dunia puji kita cantik, tapi Allah kata ita tidak cantik. Maka kita sangat buruk dan hina..

Tapi satu dunia mungkin kata kita tidak smart atau tidak cantik,

Tapi Allah kata kita cantik.
Maka itulah kecantikan yang sebenarnya dan kitalah orang yang paling bahagia. :')

Renungkanlah bagaimana kita di sisi pandangan Allah?
~Ustaz Ebit Lew

Allah, Ampunkan kami, kurniakan kami hati yg baik dan kecantikan yg sebenar disisimu...
Aamin... :'(

Malu kerana Allah

Posted by - 0 comments
"Tak perlu tunjukkan diri cantik utk dilihat cantik...
Tak perlu dipuji 'cantiknya...!' utk diiktiraf cantik..."

Kalau cuma utk 'manusia', tak akan ada puas
........................
Cantik tontonan kadang berusaha menutup tapi suka 'ditonton'. Terdidik dgn pujian dan nafsu, dibimbing oleh fesyen dan peredaran zaman.
Biasanya mudah dilihat, mudah juga meransang nafsu yg melihat.

Cantik terhormat selalunya terdidik dgn malu, dibimbing oleh adab dan ilmu.
Mungkin bisa terlihat, tapi berusaha 'memaling' dan takut...

.........................
Sahabatku muslimah,
'imej' kita, tindakan kita, membawa bersama imej islam.

Fahami 'imej' demi sunnah dan untuk dakwah, dgn 'imej' undang maksiat dan bawa fitnah....

Berusahalah menjadi 'si solehah' dgn sifat malu yg berpaling kerana takutkan Allah...
Berbanding dgn 'si solehah' yg nampak malu tapi menjeling kerana suka...

Allah... Jadikan kami malu kerana takutkan-Mu...:'(

Luruskan Pakaianmu

Posted by - 0 comments

"Tiada erti apa yang 'aku' pakai menjadikan 'aku' lebih baik dari 'kamu'," tinggalkanlah itu semua kepada rahsia penilaian Allah... Dia lebih arif akan hati dan niat kita lebih daripada meter kain itu..
________________

Satu kisah dari Ustaz Ebit Lew dlm siri motivasi pagi (ikim.fm) ;
Seorang wanita yahudi yakni seorang bekas pelacur, yang telah bertemu hidayah..

Dia begitu sedih sehingga 3 hari tdk dapat makan,tdk boleh tidur, tidak tenang.. Kerana telah 'terlihat auratnya' ketika menaiki bas.

Subhanallah..
Begitulah Iman yang memasuki hati, akan merubah seseorang, membawa islam dalam diri dan dijaga rapi...

Terlihat aurat sedikit saja sudah merasa begitu berdosa..
_______________________

Subhanallah, malu pd Allah, begitu jauh nampaknya sebati Islam sebenar dalam diri.

Saat berkata 'Aku takut pada Allah', sebenarnya masih tidak kisah menepis suruhanNya...

Saat Sudah betudung, Labuhnya meter kain ditubuh, niqab diwajah kami sekalipun,
masih tidak menepati apa yang disyariatkan,
masih ada antara kami yg tidak kisah soal aurat lengan yang kelihatan,
masih tidak kisah menjaga bab ikhtilat ,
masih hanyut dengan pujian , dambaan manusia, masih itu dan ini...

Maafkan kami ya Allah, kerana hidup di duniamu ini mengikut hawa nafsu...:'(

Bila Seseorang Buat Salah

Posted by - 0 comments


Hati yg kotor akan sering melihat kekotoran, seperti jiwa yg sakit akan sering menyakitkan...

Kadangkala manusia melakukan kesilapan.... mengapa? adakah kerana dia bodoh atau gila....? tidak, kerana dia adalah Manusia...

Tidak ada faedah mencari-cari apa yang dibenci utk dicaci,
yang ada cuma mendidik sifat mazmumah yang ada dihati...

Carilah hikmah dalam apa pun keadaan,
yang dengannya membawa ketenangan,
InShaaAllah mudahlah melakukan kebaikan...

............…..

Saat kita menilai ingatlah Allah juga sedang menilai kita.
Jika kita tdk mampu mencegah/menegur kesilapan dgn baik,
Jagalah pula hati dan buku catitan kita, dengan memaafkan dan mendoakan agar dia diberi hidayah.

Walaupun mungkin dia tidak sebaik sangkaan mu... tetapi itu jangan sampai menghalang mu untuk terus bersangka baik.. :')

Sahabat...

.......

 

Cahaya Malam Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos